Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar takut bubar parlimen awal sebab prestasi buruk PH di Sabah'
Diterbitkan:  Dec 19, 2025 3:22 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak berani membubarkan parlimen lebih awal kerana prestasi teruk PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lepas, kata Ketua Penerangan pemuda Bersatu (Armada), Harris Idaham Rashid.

Harris berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar ketika pertemuan bersama editor media baru-baru ini bahawa PRU16 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Masa kenyataan itu dibuat tidak boleh dipisahkan dengan fakta bahawa PH baru sahaja ditolak teruk ketika PRN Sabah.

"Kekalahan itu memberi tamparan hebat kerana sudah tiga tahun memerintah, ketokohan PM sudah boleh diuji dengan teliti oleh rakyat," kata Harris dalam kenyataan.

Menurutnya keputusan pada PRN Sabah menyebabkan perdana menteri tidak yakin dengan tahap sokongan sedia ada dan memerlukan masa sebanyak mungkin untuk cuba menaikkan tahap sokongan.

"Ayam tambatan PH iaitu DAP sebagai penyumbang kerusi paling banyak dalam gabungan Kerajaan juga kalah di semua kerusi yang dipertandingkan.

"Selain kalah, jumlah peratusan sokongan terhadap DAP di Sabah juga merudum teruk.

“Sebagai perdana menteri yang bergantung harap kepada DAP untuk menyumbang kerusi parlimen yang mencukupi tentunya fakta dan data ini memberi gambaran tidak baik,” kata Harris.

Tambahnya, sekiranya DAP gagal menyumbang kerusi Parlimen yang diharapkan maka PH bakal runtuh pada PRU akan datang.

"Perlu diingatkan, bahawa pada malam keputusan PRU15, jarak kerusi di antara PH dan PN itu sangat dekat.

"Jadi kegentaran perdana menteri untuk membubarkan Parlimen awal untuk memberi ruang kepada PRU-16 apabila DAP sedang menghadapi penurunan sokongan itu sangat kelihatan," katanya.

Pada PRN Sabah yang lepas, DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandinginya. PH hanya berjaya memperoleh satu kerusi melalui Jamawi Ja’afar daripada PKR di DUN Melalap.

Bagaimanapun, PN juga tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila hanya menang satu kerusi daripada 42 kerusi ditandinginya menerusi calon PAS, Aliakbar Gulasan di DUN Karambunai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS