Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanipa: Shafee cuba tulis semula undang-undang pengampunan?
Diterbitkan:  Dec 24, 2025 11:39 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

Bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin mengkritik peguam Shafee Abdullah susulan kenyataannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan tahanan rumah Najib Razak.

Ini susulan dakwaan peguam bekas perdana menteri itu bahawa keputusan berkenaan telah mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu.

Hanipa Maidin

Sambil menyelar Shafee, Hanipa mempersoalkan sama ada peguam itu cuba menulis semula Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri.

“Shafee nampaknya dengan mudah mengabaikan atau langsung tidak mengendahkan perkataan penting dalam Perkara 42, iaitu perkataan ‘nasihat’. Sebaliknya, dia menggunakan perkataan ‘berbincang’.

“Dia sepatutnya berlaku adil. Bahasa perlembagaan yang termaktub dalam Perkara 42 adalah amat jelas. Kuasa prerogatif tersebut mesti dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan,” kata Hanipa dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 22 Dis, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke memutuskan bahawa perintah tambahan bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah tidak sah kerana tidak mematuhi prosedur perlembagaan di bawah Perkara 42, yang mengkehendaki keputusan pengampunan dibuat dengan mengambil kira nasihat Lembaga Pengampunan.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Loke berkata walaupun kuasa pengampunan merupakan prerogatif Seri Paduka Baginda, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan supaya ia dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan.

Dengan kata lain, katanya, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan pengampunan secara bersendirian tanpa lembaga berkenaan.


BACA LANJUT: Alasan penghakiman dalam penolakan permohonan tahanan rumah Najib


Susulan keputusan itu, Shafee menggesa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu supaya meneliti semula keputusan tersebut, dengan mendakwa ia akan memberi kesan besar terhadap kuasa mereka.

Hanipa berkata walaupun Shafee mungkin kecewa dengan penghakiman itu, orang lain juga mungkin kecewa dengan kenyataannya.

“Mungkin dia gagal menyedari bahawa ramai orang – termasuk dalam kalangan komuniti guaman – turut kecewa dengannya,” tambahnya.

Shafee Abdullah

Semalam, veteran DAP Teng Chang Khim turut menegur Shafee atas kenyataannya dan menggesa supaya dia dikenakan tindakan menghina mahkamah.

“Kenyataannya bahawa keputusan itu telah mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu adalah bersifat politik semata-mata, serta tidak beretika dan tidak wajar bagi seorang anggota Majlis Peguam Malaysia untuk membuat kenyataan sedemikian di luar mahkamah,” kata Teng.

Jabatan Peguam Negara turut tampil dan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak benar, sambil menegaskan ia tidak mencerminkan alasan yang diberikan oleh mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS