Kerajaan Selangor harus mendedahkan semua dokumen berkaitan penswastaan parkir di negeri itu, menurut Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Gandipan Nantha Gopalan, berkata sehingga kini tiada pendedahan telus dibuat mengenai unjuran hasil, anggaran keuntungan, tempoh pulangan modal mahupun margin keuntungan bagi pemegang konsesi yang terlibat dalam skim Selangor Intelligent Parking (SIP).
“Tanpa pendedahan angka-angka asas ini, orang awam tidak mempunyai asas untuk menilai sama ada pembahagian hasil 50 peratus kepada syarikat swasta adalah munasabah atau sekadar menguntungkan segelintir pihak,” kata Gandipan dalam kenyataan hari ini.
Menerusi SIP, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu berkongsi hasil daripada bayaran parkir, pas bulanan, zon dua jam dan kompaun dengan pemegang konsesi pada kadar pembahagian 50-40 peratus.
Baki 10 peratus diperuntukkan kepada Rantaian Mesra Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Incorporated) yang ditugaskan menyelia pelaksanaan SIP.
Sebelum ini, Exco kerajaan Selangor, Ng Suee Lim, berkata pemegang konsesi akan melabur RM200 juta untuk SIP, antara lain meliputi pemasangan 1,800 kamera litar tertutup (CCTV) di empat PBT yang terlibat dalam fasa pertama skim itu.
Setakat ini, Selmax Sdn Bhd - anak syarikat Itmax System Bhd - telah memperoleh tiga konsesi untuk mengurus sistem SIP bagi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kekal sebagai satu-satunya PBT dalam fasa semasa SIP yang masih tidak melibatkan Selmax. Akhbar The Star semalam memetik ahli majlis MBPJ, Terence Tan Teck Seng, sebagai mengesahkan MBPJ masih meneliti butiran undang-undang dan kewangan perjanjian berkenaan.
Kurang penjelasan jelas
Membangkitkan kebimbangan berhubung penswastaan operasi parkir, Gandipan menegaskan kurangnya penjelasan mengenai pelan pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada PBT.
“Jika teknologi dijadikan alasan utama penswastaan, adakah kakitangan majlis akan dilatih dan diperkasa untuk mengambil alih operasi pada masa depan atau adakah kita sedang membina kebergantungan berterusan kepada operator swasta?
“Jika masalahnya ialah teknologi dan sistem, mengapa kerajaan negeri tidak meneroka model kerjasama antara beberapa majlis tempatan untuk melabur bersama dalam teknologi, sistem operasi dan latihan?” soalnya.
Dia berkata pendekatan sedemikian bukan sahaja mengekalkan pemilikan awam, malah membina keupayaan jangka panjang tanpa perlu mengorbankan hasil kepada pihak swasta.
Turut membangkitkan gesaan agar skim itu ditangguhkan sementara menunggu siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Gandipan mengkritik tindak balas kerajaan negeri terhadap laporan mengenai kaitan antara kerabat diraja dan Selmax.
“Kerajaan negeri mendakwa pelantikan Selmax Sdn Bhd dibuat tanpa mengambil kira latar belakang pemilikan termasuk hubungan dengan kerabat diraja.
“Dakwaan ini sukar diterima oleh orang awam.
“Sama ada kerajaan negeri tahu tetapi tidak mendedahkan atau tidak tahu kerana semakan yang lemah, kedua-duanya mencerminkan kegagalan tadbir urus yang serius,” katanya lagi.
Kaitan istana
Pada 17 November lalu, Malaysiakini melaporkan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, memiliki kepentingan benefisial sebanyak 16.5 peratus dalam Selmax melalui dua syarikat pegangan - Tanah Perwira Sdn Bhd dan Greyscale Holdings Sdn Bhd.
Ditubuhkan pada Mac tahun lalu, Tanah Perwira, yang merupakan pemegang saham minoriti Selmax, adalah milik penuh Greyscale Holdings, sebuah syarikat berusia tiga tahun di mana Tengku Amir Shah memiliki pegangan majoriti sebanyak 55 peratus.
Walaupun maklumat kewangan Selmax tidak ditunjukkan dalam dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diteliti Malaysiakini, Tanah Perwira dan Greyscale didapati menanggung kerugian.
Beberapa hari selepas laporan Malaysiakini, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata kaitan dengan istana tidak menghalang sesebuah syarikat swasta daripada menjalankan perniagaan atau mengurus perkhidmatan untuk kerajaan negeri.
Amirudin juga berkata dia tiada masalah untuk menyahklasifikasikan dokumen berkaitan perjanjian tersebut, namun mengakui ia mungkin “tidak mudah” untuk dilakukan kerana syarikat swasta berkenaan mungkin membantahnya.
