Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menyeru kerajaan meningkatkan pelepasan cukai pendapatan individu secara berperingkat.
Menurut Lim, kadar semasa tidak lagi mencerminkan kos sara hidup yang semakin tinggi ekoran inflasi bertahun lamanya.
Dia berkata pelepasan cukai pendapatan peribadi kekal sebanyak RM9,000 sejak 15 tahun lalu, tanpa sebarang pengubahsuaian berdasarkan inflasi.
Berdasarkan kadar inflasi sepanjang tempoh itu, katanya, pelepasan sekarang seharusnya sebanyak kira-kira RM12,000.
“Dengan inflasi terus meningkat, ramai orang merasakan ini masanya pelepasan cukai pendapatan individu disemak semula, dan saya setuju dengannya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Bagaimanapun, Lim yang merupakan penasihat DAP mengingatkan langkah meningkatkan pelepasan cukai sebanyak RM3,000 secara sekaligus akan membebankan berlebihan kepada hasil cukai negara.
Sebagai alternatif, dia mencadangkan pendekatan secara berperingkat.
Menurutnya, kerajaan boleh meningkatkan pelepasan cukai sebanyak RM1,000 setahun bermula tahun ini - menjadikan jumlah pelepasan sebanyak RM12,000 pada 2028.
“Pendekatan ini akan memenuhi keperluan rakyat dan pada masa sama mengurangkan tekanan ke atas kewangan kerajaan. Ia tuntutan yang wajar,” katanya lagi.
Lim berkata pengubahsuaian itu juga dapat membantu memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Dia merujuk kenyataan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, bahawa isu ekonomi merupakan faktor utama di sebalik kemerosotan keyakinan pengundi, dengan menjadikan keputusan PRN Sabah sebagai contoh.
Lim juga berkata dia baru-baru ini mengutus surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, mengandungi 10 cadangan yang bertujuan mengembalikan kepercayaan rakyat menerusi reformasi ekonomi.
