Perdana Menteri Anwar Ibrahim menepis spekulasi berkenaan usaha menghidupkan semula kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS, pada masa sama menegaskan sebarang keputusan bergantung kepada parti masing-masing.
Anwar turut menegaskan semua parti dalam kerajaan kekal utuh dan komited melaksanakan tanggungjawab sehingga PRU akan datang.
“(Soal) itu belum serius, saya belum dapat maklumat lagi. Itu keputusan masing-masing.
“Tapi yang penting sekarang kerajaan perpaduan masih utuh dan semua telah berikan pandangan untuk menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi, bela nasib rakyat sehingga PRU akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
“Jadi soal orang yang ada idaman dan igauan, soal dia bercerai-berai, itu bukanlah masalah saya,” kata pengerusi PH itu lagi.
Spekulasi mengenai usaha perdamaian antara Umno dan PAS di bawah panji MN — sebuah kerjasama yang dibentuk pada 2019 — timbul susulan hubungan tegang antara PAS dan Bersatu dalam PN mutakhir ini.
Di pihak Umno, antara yang menyokong usaha tersebut ialah Ketua Pemuda, Dr Akmal Saleh, manakala di pihak PAS, cadangan itu disambut baik Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.
Bagaimanapun Ahmad Fadhli meletakkan syarat agar Umno memutuskan hubungan dengan DAP.
Anwar enggan mengulas lanjut apabila ditanya jika pergolakan dalam kalangan pembangkang akan memberi kelebihan kepada kerajaan.
“Itu masalah mereka, (kami) tak campur. Itu masalah PAS dan Bersatu. Cerai-berai ini bukan masalah kerajaan perpaduan,” katanya lagi.
Terdahulu hari ini, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyifatkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN sebagai “langkah strategik” dan bukan tanda kelemahan.
Dia juga menegaskan Bersatu kekal sebagai “rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN”, serta kerjasama itu akan terus dijaga demi kestabilan dan kekuatan gabungan berkenaan.
Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan mengambil alih teraju PN.
