Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warisan sah bertanding PRK Kinabatangan, DUN Lamag
Diterbitkan:  Jan 5, 2026 12:37 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Warisan mengesahkan parti itu akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan, dengan menyifatkan keputusan itu sebagai langkah awal untuk memenangi beberapa lagi kerusi dalam beberapa bulan akan datang.

Parti itu juga menjangkakan akan terdapat sekurang-kurangnya lima PRK susulan petisyen pilihan raya yang telah difailkan bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Nov tahun lalu.

Warisan menamakan bekas Adun Sukau, Saddi Abdul Rahman, sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kinabatangan (P187), manakala Mazliwati Abdul Malik Chua akan bertanding di kerusi DUN Lamag.

Mazliwati sebelum ini pernah bertanding sebagai calon Warisan bagi kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Umum 2022 namun tewas kepada bekas Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Allahyarham Bung Moktar Radin.

Kedua-dua kerusi itu kosong susulan kematian Allahyarham Bung pada 5 Dis lalu.

Naib Presiden Warisan, Darell Leiking, berkata keputusan parti itu bertanding pada pilihan raya kecil itu bukan bermakna tidak menghormati jasa Allahyarham ketika menjadi wakil rakyat.

“Keputusan Warisan untuk bertanding bukanlah penafian terhadap sumbangan dan khidmat Bung, dan tentunya bukan satu bentuk tidak hormat terhadap beliau atau keluarganya.

“Ia lahir daripada kepercayaan bahawa mandat rakyat mesti diteruskan, dan tanggungjawab untuk mewakili rakyat hanya boleh dilaksanakan melalui proses yang sah dan berperlembagaan,” katanya ketika mengumumkan calon dalam sebuah majlis di Kinabatangan pada Isnin.

Leiking berkata Warisan bertanding pada pilihan raya kecil itu “bukan sahaja dengan hormat, tetapi juga dengan tanggungjawab”.

“Kami memasuki pilihan raya ini dengan penuh hormat, tetapi juga dengan mandat untuk mewakili rakyat dan menghormati demokrasi, di mana rakyat diberi hak untuk memilih,” katanya.

Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, tidak hadir dalam majlis pegumuman berkenaan kerana sedang menunaikan ibadah Umrah.

Dalam pada itu Darrel menyifatkan PRK Kinabatangan sebagai titik permulaan bagi parti berasaskan Sabah itu.

“Kita mesti menang di Kinabatangan kerana di sinilah permulaan parti tempatan yang mewakili Sabah dan menyumbang kepada Malaysia bermula,” katanya.

Leiking berkata Saddi dipilih sebagai calon di kerusi Parlimen itu kerana dia merupakan anak tempatan dan mempunyai pengalaman yang luas.

“Beliau adalah anak tempatan. Beliau memahami denyut nadi Kinabatangan dan bersedia untuk membawa suara rakyat ke peringkat nasional dengan integriti dan tanggungjawab,” katanya.

Saddi menyertai Warisan pada 1 Nov tahun lalu.

Bagi DUN Lamag, Leiking berkata Mazliwati mendapat kepercayaan penuh daripada pimpinan parti.

Mazliwati dapat hadir pada majlis pengumuman calon kerana urusan keluarga.

"Kami tidak janji calon-calon ini sempurna, tetapi sebagai tawaran jujur dan bertanggungjawab untuk mengutamakan kepentingan rakyat Kinabatangan, Lamag dan Sabah,” kata Darrel.

Jangkaan lima PRK

Terdahulu, Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr, berkata PRK Lamag dilihat sebagai titik permulaan strategik.

Dia berkata parti itu menjangkakan lima pilihan raya kecil akan diadakan susulan petisyen yang telah difailkan di mahkamah.

Jika kelima-lima petisyen itu mencetuskan pilihan raya kecil dan Warisan berjaya memenangi semuanya, parti itu akan mempunyai 30 kerusi di DUN Sabah, sekali gus memperkukuh kedudukannya.

“Lamag adalah titik permulaan kami, kerana selepas ini terdapat petisyen pilihan raya, dan jika kami menang semua lima kerusi, Warisan akan mempunyai lebih 30 kerusi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 10 Januari (Sabtu) sebagai hari penamaan calon, dengan tarikh mengundi pada 24 Januari.

Sementara itu, Umno Sabah mempertaruhkan Naim Moktar Radin, anak Allahyarham Bung Moktar Radin, untuk bertanding di kerusi Parlimen Kinabatangan, manakala Mohd Ismail Ayob akan bertanding kerusi DUN Lamag.

Mohd Ismail sebelum ini bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri pada 29 Nov tahun lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS