Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menggesa mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN diadakan susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN baru-baru ini.
Dalam sepucuk surat kepada ahli MT dan timbalan pengerusi PN, Hadi berkata mesyuarat itu untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin serta melantik pengganti.
“Bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN, maka saya sebagai timbalan pengerusi PN berpandangan, hendaklah disegerakan suatu panggilan mesyuarat tergempar MT PN bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(I)(b) Perlembagaan PN,” katanya dalam surat bertarikh 10 Januari.
“Diharapkan perkara ini diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan telah berjalan melebihi 10 hari,” katanya lagi.
Peletakan jawatan Muhyiddin berkuat kuasa pada 1 Jan 2026.
Hadi mengesahkan dia telah menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin pada 30 Disember lalu, sambil merakamkan penghargaan kepada bekas perdana menteri itu atas khidmatnya gabungan tersebut.
Semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, menyuarakan keraguan jika Muhyiddin dan para penyokongnya akan mematuhi prosedur yang betul dalam mesyuarat MT PN akan datang.
Justeru, Wan Saiful, yang dipecat daripada Bersatu tahun lalu, berkata dia telah menulis kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya memantau perkembangan bagi memastikan Bersatu mematuhi proses yang wajar.

Katanya, Muhyiddin tidak seharusnya mempengerusikan mesyuarat MT PN, dan mempersoalkan jika kehadiran ahli Parlimen Pagoh itu akan menyebabkan mesyuarat menjadi tidak sah.
Dia turut berkata Muhyiddin mesti meninggalkan mesyuarat sebaik sahaja peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN disahkan, sebelum mesyuarat beralih kepada agenda kedua.
Bagaimanapun, sebagai presiden Bersatu, Muhyiddin berhak menduduki kerusi dalam Majlis Tertinggi PN.
Pergolakan PN
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN pada 30 Disember lalu susulan krisis dalam kerajaan Perlis, yang menyaksikan hubungan antara PAS dan Bersatu semakin tegang.
Pergolakan itu tercetus selepas berlakunya rampasan kuasa di Perlis, apabila lapan ADun — lima daripada Bersatu dan tiga daripada PAS — menarik balik sokongan terhadap Shukri Ramli daripada PAS sebagai menteri besar.
Di tengah tanggapan PN berdepan pergeseran dalaman, pemimpin PAS sebelum ini mengancam sama ada untuk keluar daripada gabungan itu dan membentuk kerjasaman dengan Umno, atau mengambil alih kepimpinan PN.
Namun, keadaan menjadi reda apabila Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN, sekali gus membuka laluan kepada PAS untuk mengambil alih kepimpinan gabungan tersebut.
Pengumuman Muhyiddin turut mencetuskan siri peletakan jawatan oleh pengerusi Bersatu peringkat negeri, termasuk setiausaha agung, Azmin Ali sebagai pengerusi PN Selangor, serta timbalan presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai pengerusi PN Perak.
Sejak itu, Hadi menyatakan kesediaan partinya untuk menerajui PN. Namun, spekulasi berhubung pengganti Muhyiddin masih berterusan, dihangatkan lagi dengan pertemuan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, dengan Muhyiddin pada 6 Januari.
Dua hari kemudian, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, memberi bayangan mengenai pilihan partinya untuk jawatan pengerusi PN, namun tidak menamakan sesiapa secara khusus.
Keesokan harinya, Hadi menafikan bahawa partinya telah mengemukakan sebarang nama bagi pencalonan pengerusi PN.
Sebaliknya, dia berkata keputusan itu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan pusat parti untuk diperhalusi dan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS akan datang, yang telah ditangguhkan ke minggu hadapan.
Dia turut berkata PN belum bermesyuarat mengenai perkara tersebut, memandangkan gabungan itu kini tidak mempunyai setiausaha selepas semua penyandang jawatan berkenaan meletakkan jawatan.
