Tidak semestinya presiden sesebuah parti yang hanya boleh dilantik menjadi Pengerusi PN, kata PAS hari ini.
Berdasarkan perlembagaan, kata pemimpin kanan parti tersebut, ketetapan yang jelas ialah timbalan pengerusi parti gabungan itu dilantik dalam kalangan presiden parti komponen.
“Tidak jadi satu keperluan seseorang ketua parti (presiden) menjadi pengerusi PN,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.
Dia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas memberitahu isu pemimpin yang akan dilantik menggantikan Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN masih dalam proses perbincangan.
Ahmad Fadhli berkata demikian kepada media selepas menghadiri perasmian kedai Mydin Mart di Pasir Mas, Kelantan hari ini.
Malaysiakini memperoleh rakaman audio sidang media tersebut.

Pada masa sama, dia mengesahkan PAS sudah menghantar satu nama kepada PN sebagai calon Pengerusi PN. Dia bagaimanapun enggan mendedahkan nama tersebut.
Jawatan Pengerusi PN kini menjadi tanda tanya ekoran pengumuman Muhyiddin berundur kesan daripada konflik yang berlaku di antara PAS dan Bersatu berhubung tergantinya Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.
Mohd Shukri merupakan ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan bekas Pesuruhjaya PAS Perlis serta Pengerusi PN Perlis. Bagaimanapun dalam pemilihan parti itu baru-baru ini dia mengalami kekalahan bagi jawatan Yang Dipertua PAS Arau.
Dia juga gagal mendapat undi yang mencukupi bagi melayakkan menyertai Jawatankuasa PAS Pusat namun dibawa menyertai badan itu secara lantikan oleh presiden, Abdul Hadi Awang.
Jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis pula kini disandang Ahmad Ali.

Tersingkirnya Mohd Shukri berlaku selepas sejumlah Adun – termasuk tiga dari PAS – menandatangani akuan berkanun bagi menyatakan pendirian tidak lagi menyokong Adun Sanglang sebagai menteri besar.
Bagaimanapun kedudukan sebenar Muhyiddin masih menjadi teka-teki kerana mengikut Perlembagaan PN, peletakan jawatan tersebut mesti disahkan oleh majlis tertinggi parti tersebut.
Setakat ini belum diketahui sama ada mesyuarat tersebut – yang turut melibatkan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu – sudah diadakan atau tidak.
Menurut Ahmad Fadhli, dalam Perlembagaan PN memang tidak dinyatakan yang jawatan pengerusi mesti terdiri daripada presiden sesebuah parti komponen.
Apa yang ada, katanya lagi, ialah kemungkinan kebanyakan orang menganggap hanya presiden sesebuah parti saja yang boleh menjadi pengerusi.
“Benda tu tak ada masalah, ikut amalan masing-masing saja,” katanya lagi.
Ditanya jika nama yang dihantar sebagai calon pengganti Muhyiddin itu ialah Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahmad Fadhli menjawab: “Itu kita tak tahu lagi.”
