Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan agar semua operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat dihentikan dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar secara berfasa.
Ketetapan itu dibuat selepas baginda menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.
Menerusi kenyataan Istana Shah Alam, baginda menegaskan bahawa perpindahan tersebut perlu mengikut perancangan tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan.
"Baginda menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.
“Justeru, operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar," menurut istana.
Terdahulu, Izham dalam sidang media selepas sesi menghadap hari ini menjelaskan taklimat secara menyeluruh telah dipersembahkan kepada baginda.
Izham berkata, kerajaan Selangor akan mempercepatkan pemindahan semua ladang babi dari Kuala Langat dan Sepang ke Bukit Tagar, selain mengesahkan tiada pembaharuan lesen akan diberikan di dua kawasan terbabit.
Katanya, langkah itu diambil selaras dengan titah Sultan Sharafuddin, selain tindakan bagi menangani isu pencemaran serta penularan wabak demam babi Afrika (ASF).
Dia juga berkata projek di Bukit Tagar adalah inisiatif swasta, dengan kerajaan negeri memudahkan kelulusan yang diperlukan.
Izham mengadap Sultan Sharafuddin hari ini selepas baginda menzahirkan “rasa amat dukacita dan tidak bersetuju” dengan pengurusan penternakan babi di Selangor pada masa ini.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin hari ini menitahkan kajian terperinci dan bancian menyeluruh dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik dan kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi, khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di negeri Selangor.
“Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut,” kata istana.
Titah baginda lagi, dapatan kajian itu perlu dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal.
"Baginda menegaskan kerajaan Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.
"Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri," kata istana lagi.
Baginda juga menzahirkan harapan agar semua pihak terlibat dapat melaksanakan ketetapan itu dengan penuh tanggungjawab demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor sentiasa terpelihara.
