Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kita nafikan sekeras-kerasnya kita pengkhianat'
1

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi menerima peletakan jawatan presiden mereka, Muhyiddin Yassin, selaku Pengerusi PN di sebalik penegasan bahawa mereka bukan pengkhianat.

Bercakap kepada media selepas selesai mesyuarat MPT yang berlangsung selama empat jam malam tadi, Muhyiddin berkata, dalam isu Perlis, Bersatu memang tidak terlibat sama sekali mengetepikan Adun PAS, Mohd Shukri Ramli, dari jawatan menteri besar.

Sebaliknya, kata Muhyiddin, Bersatu hanya mematuhi keputusan yang dibuat oleh Raja Perlis yang mempunyai kuasa mutlak dan mesti dihormati.

Justeru, katanya, Bersatu tidak berperanan mensabotaj PAS di Perlis sehingga menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada parti itu kepada Bersatu.

“Kita (Bersatu) menafikan sekeras-kerasnya kita pengkhianat. No, nothing to do (tak ada kaitan). Bersatu tidak terlibat,” katanya.

Sebelum ini PAS beberapa kali menggelarkan pihak yang didakwa bertanggungjawab menyingkirkan pemimpin mereka dari jawatan menteri besar itu sebagai “pengkhianat’.

Antaranya ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang sendiri yang menganggap tindakan tersebut sebagai “menjatuhkan kerajaan.”

Bagaimanapun untuk rekod pertukaran menteri besar itu tidak mengubah kerajaan kerana Perlis masih ditadbir oleh pakatan PN kerana Bersatu merupakan parti komponen gabungan tersebut.

PAS juga memberhentikan keanggotaan tiga Adun mereka yang mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi menegaskan tidak lagi percaya kepada Mohd Shukri menjadi menteri besar.

Tiada nama pengganti diterima

Jawatan menteri besar di negeri itu kini disandang Pengerusi Bersatu Perlis yang juga Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah. Dia turut hadir dalam mesyuarat malam tadi dan memberikan penjelasan mengenai apa yang berlaku di Perlis.

Perkembangan itu menyaksikan sesetengah pemimpin PAS mendesak Muhyddin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN. Antaranya ada yang menggunakan perkataan kasar seperti “berambus” untuk pihak yang dianggap sebagai “pengkhianat”.

PAS juga bertegas mahu pemimpin mereka mengisi jawatan yang ditinggalkan oleh Muhyiddin itu.

Kata Muhyddin mesyuarat malam tadi turut membincangkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi.

Selepas memberikan penjelasan panjang lebar, katanya, MPT Bersatu menghormati keputusan Ahli Parlimen Pagoh terbabit yang dibuatnya baru-baru ini.

“Nanti apabila sampai waktu mesyuarat MT (Majlis Tertinggi) PN, perkara itu akan diputuskan secara muktamad,” katanya.

Pada sidang media sama, Muhyiddin turut mengesahkan PAS belum mengemukakan sebarang nama untuk dicadangkan sebagai pengerusi baru PN.

Ia mengesahkan kenyataan Abdul Hadi pada Jumaat lalu yang memberitahu belum ada nama diputuskan oleh partinya.

Sementara itu mengulas permintaan Pemuda Bersatu, Gerakan dan MIPP agar mempertimbangkan semula keputusannya melepaskan jawatan pengerusi, Muhyiddin berkata, dia menghormati pandangan tersebut.

Bagaimanapun, tegas bekas perdana menteri itu, dia sendiri yang membuat keputusan berkenaan.

“Saya tak akan jelaskan sehingga mesyuarat MT PN nanti,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, dalam kenyataan selepas itu berkata, MPT Bersatu menjunjung kasih dan menyembah ucapan penghargaan atas perkenan Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail yang berkenan melantik Abu Bakar sebagai menteri besar serta empat exco.

“Bersatu akan terus menjunjung titah nasihat Tuanku untuk membangunkan Perlis demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS