Di tengah-tengah kebimbangan mengenai penternak babi yang diminta untuk memindahkan ladang mereka ke Bukit Tagar, ahli majlis eksekutif negeri Selangor, Izham Hashim, berkata tempat baharu itu terletak berhampiran tapak pelupusan sampah.
“Jangan kata orang Melayu, makhluk lain pun tak sanggup tinggal di kawasan tersebut, di kawasan itulah kerajaan negeri mencadangkan untuk dibina pusat penternakan babi secara moden, berteknologi tinggi dan mesra alam.
“Tidak timbul di situ kawasan orang Melayu atau kaum lain sedangkan tiada penempatan di kawasan tersebut.
“Perkara ini juga saya telah sembah maklum kepada Tuanku Sultan Selangor dan baginda amat memahami perkara tersebut,” kata Izham dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Pada 10 Januari, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan “rasa amat dukacita dan tidak bersetuju” baginda dengan pengurusan penternakan babi di Selangor pada masa ini.
Merujuk kepada ladang sekarang di Tanjung Sepat, Kuala Langat, Sultan Sharafuddin mengusulkan agar wakil rakyat khususnya di Selangor menetap bersebelahan ladang ternakan babi di kawasan itu.
Baginda juga menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami ramai penduduk Melayu dan mereka telah lama menanggung pelbagai kesan negatif termasuk bau busuk yang berlarutan, pencemaran air sungai, serta masalah lalat yang tidak berkesudahan.
Susulan pertemuan dengan Izham dan rakan ahli majlis eksekutif negeri Ng Suee Lim pada 12 Januari, Sultan Sharafuddin meluluskan beberapa resolusi, termasuk titah agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat.

Menurut kenyataan istana Selangor, baginda juga menitahkan bahawa operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, selaras dengan semua keperluan undang-undang dan peraturan yang berkaitan.
Sultan Sharafuddin turut menitahkan kajian terperinci dan bancian menyeluruh dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik dan kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi, khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di negeri Selangor.
BACA: PANDUANKINI l Meneliti pertikaian ladang babi di Selangor
“Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut,” kata istana.
Titah baginda lagi, dapatan kajian itu perlu dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal.

"Baginda menegaskan kerajaan Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.
"Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri," kata istana lagi.
Berdasarkan titah itu, Izham, yang bertanggungjawab ke atas portfolio infrastruktur dan pertanian, membidas pihak tertentu yang telah menjadikan perkara itu sebagai isu perkauman.
Katanya, bahawa ramai yang terlepas pandang bahawa kerajaan negeri Selangor sedang cuba menyelesaikan masalah rakyat, dan bukanyan menambah lagi masalah.
Ramai yang memaki hamun saya berkenaan perkara ini sehingga ada yang mengatakan saya ini di ternak oleh tauke babi,” kata Izham.
Dia juga menegaskan bahawa Sultan Sharafuddin amat memahami bahawa menjadi keperluan untuk negeri menyediakan sumber makanan kepada masyarakat bukan Islam memandangkan Selangor adalah negeri berbilang kaum.
“Saya berharap isu ini dapat dilihat secara adil, rasional dan menyeluruh, bukan melalui lensa emosi atau sentimen semata-mata.

“Apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri adalah penyelesaian jangka panjang demi kesihatan, kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar, selari dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” kata Izham.
