Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bung Moktar dilepaskan tapi kes Zizie Izette tetap dibicara
Diterbitkan:  Jan 16, 2026 11:43 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Bung Moktar Radin daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Bhd (Public Mutual).

Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap Bung Moktar, 66, yang meninggal dunia pada 6 Dis 2025.

"Menurut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, pihak pendakwaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap tertuduh pertama (Bung Moktar).

“Mahkamah membuat keputusan untuk memberikan perintah tertuduh pertama dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan serta wang jaminan (RM100,000) dan pasport dikembalikan kepada penjamin," kata Rosli semasa sebutan kes itu.

Terdahulu, Law memaklumkan tiga kes bersubahat dihadapi isteri Allahyarham Bung Moktar, Zizie Izette Abdul Samad, akan diteruskan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasinya untuk mengugurkan pertuduhan berkenaan.

Peguam Zizie Izette, Teh See Khoon, memohon supaya tarikh perbicaraan baru ditetapkan pada 5, 6 dan 12 Mac ini selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh itu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh berkenaan untuk Zizie Izette, 47, membela diri.

Zizie Izette sepatutnya memberikan keterangan membela diri pada 12 Jan lalu namun prosiding berkenaan ditangguhkan ke hari ini. Bung Moktar pula telah memberikan keterangan membela diri pada 2 Sept tahun lalu.

Pada prosiding hari ini, Zizie Izette dikecualikan hadir, manakala peguam Ashok Athimulan mewakili Allahyarham Bung Moktar.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Bhd didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.

Selain itu, dia didakwa menerima suapan RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas nama isterinya bagi tujuan sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara dan denda sama, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS