Umno mengesahkan akan menangguh pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung tahun ini selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 (PRU-16), kata Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata, sama ada dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan ataupun tidak akan ditentukan selepas PRU.
"Kita tunggu selepas PRU ok.. kita ada 18 bulan, Perlembagaan Umno telah dipinda iaitu selepas 18 bulan daripada tarikh akhir tahun pemilihan atau selepas pilihan raya.
"Mana-mana yang dulu," katanya ketika ditemui wartawan pada Perhimpunan Agung Umno 2025.
Kali terakhir pemilihan Umno diadakan pada Mac 2023 dan tempohnya juga sepatutnya tamat pada Mac 2026.
Namun, disebabkan Umno telah meminda Perlembagaannya maka pemilihan parti boleh ditangguh.
Pada pemilihan Umno Mac 2023 jawatan Zahid selaku Presiden dan Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden tidak dicabar.
Pada 15 Mac 2022, Umno telah meminda perlembagaan parti mereka bagi membolehkan pemilihan ditangguhkan selama enam bulan selepas PRU
Pindaan Perlembagaan tersebut melibatkan 3 Fasal iaitu Fasal 10.16, 15.3 dan 18.2 yang kesemuanya melibatkan penangguhan pemilihan di semua peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Bahagian dan Cawangan.
Pindaan ini memberi kuasa kepada MKT Umno untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MKT, Bahagian dan Cawangan tidak lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan atau tidak lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu PRU, yang mana terkemudian.
Untuk rekod tempoh berakhir Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU16 ialah pada 19 Dis 2027.
