Semua aliran sekolah termasuk sistem antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diwajibkan untuk mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
“Tanpa kecuali, diwajibkan mengambil ujian Bahasa Melayu SPM dan juga sejarah Malaysia. Yang kedua, kita lihat sekolah agama rakyat ini dan maahad tahfiz dan sebagainya, sistem persekolahan yang kian meningkat. Mereka juga termasuk dalam kategori ini.

“Ini terpakai juga tentang kontroversi kecil soal UEC walaupun keadaan sudah berubah. Majoriti besar mengambil SPM dan juga majoriti besar telah mengambil SPM Bahasa (Melayu).
“Dalam peraturan sekarang, Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia juga diwajibkan bagi sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat dan semua sekolah aliran Cina atau UEC.
“Maka dengan kaedah ini, jalur mereka untuk pergi ke pendidikan tinggi sama ada sekolah antarabangsa atau sekolah agama rakyat dan UEC, itu tidak lagi harus menjadi kontroversi. Kita terima baik asalkan syarat ini diterima,” jelas Anwar Ibrahim.
Perdana menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata mata pelajaran terbabit yang telah melalui proses rombakan semula akan diajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu dan diwajibkan kepada semua pelajar Malaysia di institusi pengajian tinggi.
"Di peringkat pendidikan tinggi, kita tidak wajibkan Bahasa Melayu dan sejarah tetapi mulai tahun ini, kita akan perkenalkan mata pelajaran umum yang telah dirombak semula dan diajar dalam Bahasa Melayu di seluruh universiti awam dan swasta bagi pelajar Malaysia iaitu Perlembagaan dan sejarah Malaysia serta dimasukkan dalam kurikulum," katanya.
Perdana menteri berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap pelajar memiliki asas kefahaman tentang sejarah negara dan struktur Perlembagaan Persekutuan meskipun mereka mengikuti bidang pengajian yang berbeza.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata sebanyak 5,000 tempat penginapan tambahan disediakan kepada mahasiswa bermula tahun ini.
"Mahasiswa terus mengeluh kerana tempat penginapan sukar dicari... kalau ada di sekitar dan pinggir kota, terlalu mahal," katanya.

Berikutan itu, perdana menteri berkata kerajaan telah mengarahkan semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengambil peranan membangunkan kemudahan penginapan mahasiswa kerana pemberian tanggungjawab tersebut kepada syarikat swasta mungkin menimbulkan kontroversi.
Anwar berkata syarikat kerajaan akan bekerjasama secara langsung dengan pihak universiti bagi membangunkan kawasan dan menyediakan kemudahan penginapan yang diberi keutamaan kepada mahasiswa.
"Saya telah mengatakan dari awal, dan mudah-mudahan tahun ini kita mulakan di universiti-universiti tertentu dengan sasaran menyediakan 5,000 tempat penginapan tambahan kepada mahasiswa," katanya.
Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 merupakan rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

Pelan pendidikan baharu itu melibatkan dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Turut hadir kedua-dua timbalan perdana menteri iaitu Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
Tak boleh lihat berasingan
Dalam perkembangan berkaitan, Zambry menjelaskan isu pengiktirafan UEC tidak boleh dilihat secara berasingan, sebaliknya ia sebahagian daripada pendekatan menyeluruh melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan.
Menurutnya, ia termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama, sekolah Arab serta sistem pendidikan lain yang tidak berteraskan pendidikan nasional.

Katanya, perdana menteri menjelaskan bahawa langkah awal kerajaan bagi memastikan semua sistem pendidikan memenuhi prasyarat asas, khususnya pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia berdasarkan kurikulum kebangsaan, sebelum sebarang keputusan lanjut berkaitan kemasukan ke IPTA.
"Syarat tersebut tidak hanya terpakai kepada UEC, malah, melibatkan semua institusi pendidikan yang berada di luar sistem pendidikan nasional.
"Pendekatan ini diambil bagi mengelakkan isu pendidikan dilihat daripada sudut satu kaum atau satu aliran semata-mata, sebaliknya mencari penyelesaian yang lebih komprehensif dan adil," katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.
Zambry berkata, pengumuman perdana menteri merupakan langkah awal bagi membolehkan proses penilaian dan penyelarasan dilakukan secara sistematik.
Tambahnya, perkara sama turut melibatkan sekolah antarabangsa dan sekolah agama yang menggunakan sistem pendidikan sendiri serta tidak semestinya memperkenalkan subjek teras kebangsaan.

Selain itu jelasnya lagi, kerajaan juga akan melaksanakan penyelarasan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), memandangkan SPM berada bawah bidang kuasa KPM dan menjadi asas utama kepada sistem pendidikan tinggi negara.
“Segala sistem pendidikan yang sebelum ini tidak berteraskan pendidikan nasional perlu memenuhi kriteria ditetapkan terlebih dahulu, iaitu pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia, sebelum langkah seterusnya berkaitan pengambilan pelajar ke universiti awam dapat dipertimbangkan,” katanya yang juga ahli Dewan Negara.
