Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PKR sindir Hadi: 'Kalau Presiden PAS benci, setanlah tu'
Diterbitkan:  Jan 20, 2026 5:59 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Pemuda PKR berpendapat status seseorang atau kumpulan itu dianggap jahat atau sebaliknya di mata PAS sebenarnya bergantung kepada tafsiran presiden parti itu, Abdul Hadi Awang.

Ketua Pemuda PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim, malah secara sinis berpendapat pandangan yang dilontarkan Abdul Hadi "tidak pernah mengecewakan."

Ahli politik terbabit, dakwa Kamil, juga mudah mengecam mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengannya pelbagai label.

"Jika Presiden PAS benci, maka setanlah orang atau kelompok itu. Sama ada setan itu bisu atau boleh bercakap, hanya Presiden PAS yang tahu.

"(Abdul Hadi) Tidak pernah mengecewakan. Apa tak dikata pada musuh politik? Dajjal, munafiq, binatang (sila sambung..)," katanya dalam satu hantaran di media X hari ini.

Ia menyusul selepas Abdul Hadi memberi gambaran bahawa PAS enggan melayan pelawaan Umno untuk mewujudkan "gabungan agung" melibatkan parti Melayu Islam.

Alasan Ahli Parlimen Marang itu - PAS enggan bersama dengan pihak yang ada melibatkan "syaitan bisu" serta kumpulan aliran yang tidak sehaluan dengan mereka.

Penegasan Abdul Hadi itu dibuat melalui kenyataannya di media sosial semalam.

Fuqaha syarat jadi pemimpin

Istilah "syaitan bisu" pernah popular digunakan oleh PAS beberapa dekad lalu dan merujuk kepada individu, pihak atau kumpulan yang tidak sehaluan dengan parti berkenaan.

Dalam catatan sama, Abdul Hadi berkata, perpaduan yang dicadangkan itu tidak akan mampu menyelesaikan perpecahan seperti yang dilihat pada parti komponen kerajaan perpaduan.

Malah Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa parti terbabit sedang runtuh memakan diri.

Menurut Kamil, Abdul Hadi dan PAS sepatutnya lebih berhati-hati melabel pihak lain, terutama kepada parti yang bergabung dalam kerajaan perpaduan.

Dia yang juga setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim berkata, untuk membolehkan idea gabungan dicadangkan Umno itu diterima PAS, mungkin ia wajar diberikan nama menggunakan bahasa Arab seperti yang digunakan oleh parti terbabit sebelum ini.

Abdul Hadi Awang

"Mungkin kolabarasi agung ini kena tukar ke dalam bahasa Arab. Maka ia lebih dekat dengannya.

"Macam tahalluf siyasi yang bunyinya lebih syarie berbanding political cooperation yang bunyinya barangkali barat, liberal 'sekular laknatullah' sedangkan maksudnya sama," katanya.

Kamil turut menegaskan bahawa sejarah menunjukkan bahawa pandangan tertentu daripada ulama atau fuqaha tidak semestinya menjadi ukuran tunggal untuk menilai kelayakan seseorang memimpin.

Katanya hal itu dibuktikan seawal era Tunku Abdul Rahman menjadi perdana menteri sehingga Anwar Ibrahim.

Menurut Kamil, jika penilaian yang diinginkan PAS itu menjadi kayu ukur tunggal, ramai pemimpin negara yang boleh dianggap tidak layak.

Untuk rekod, isu pemimpin bertaraf fuqaha bukan ditimbulkan oleh Abdul Hadi sebaliknya seorang pemimpin PAS peringkat pertengahan, Zaharudin Muhammad.

Dia merupakan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh dan pernah menganggotai Majlis Syura Ulama PAS Pusat. Secara kebetulan Zaharudin merupakan menantu Abdul Hadi.

"Dari Tunku Abdul Rahman sampai PMX (Anwar), semua tak layak pimpin negara kalau ikut cakap fuqaha ini.

“Kalau dulu disebut ulama, kali ni fuqaha. Ada pilihan sikit," katanya sinis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS