Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan Rancangan Pendidikan 2026-2035 di Putrajaya hari ini, yang merangkumi pelbagai isu daripada prasekolah hingga pendidikan tinggi.

Berikut intipati penting daripada ucapannya serta risalah kepada media hari ini.

Kemasukan ke sekolah rendah dan menengah, peperiksaan dan mata pelajaran

  • Prasekolah digalakkan bermula dari umur 5 tahun.

  • Mulai tahun hadapan, ibu bapa mempunyai pilihan untuk mendaftarkan kanak-kanak berusia enam tahun ke sekolah rendah Tahun 1, jika mereka merasakan anak-anak mereka sudah bersedia.

  • Anwar berkata tahap kecerdasan kanak-kanak sekarang adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini.

  • Anwar mengumumkan bahawa bermula tahun ini pelajar sekolah rendah akan dinilai pada Tahun 4 dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, berbanding mengembalikan semula UPSR.

  • Rancangan itu menurut Anwar adalah untuk menggunakan Tahun 5 dan 6 untuk meningkatkan skor penilaian Tahun 4 mereka, sebagai persediaan bagi sekolah menengah.

  • Pelajar Tingkatan 3 pula akan dinilai dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah bermula 2027, berbanding mengembalikan semula PT3.

  • Wajib mempelajari Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia peringkat SPM menggunakan kurikulum kebangsaan untuk semua sekolah, termasuk sekolah persendirian, sekolah agama dan sekolah antarabangsa.

  • Anwar berkata dia berharap langkah ini akan menamatkan kontroversi mengenai pelajar sekolah persendirian Cina yang mengambil Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai tambahan kepada SPM.

  • Kanak-kanak mesti menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, dan kualiti pendidikan Bahasa Inggeris mesti dipertingkatkan.

  • Kementerian Pendidikan mesti menyediakan guru yang mencukupi supaya pelajar juga boleh mempelajari Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab.

  • Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diperkenalkan mulai Tahun 1, dengan kurikulum yang diperluas untuk Tingkatan 1, 2, 3 yang memberi tumpuan kepada teknologi dan kemahiran digital.

  • Anwar berkata ini akan membolehkan kanak-kanak yang berminat dalam pendidikan vokasional memilih bidang lebih awal.

Kemasukan dan mata pelajaran pendidikan tinggi

  • Tingkatan 6 dan matrikulasi kini akan dianggap sebagai pendidikan tinggi dan diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Tinggi.

  • Matlamatnya adalah untuk memastikan kesinambungan pendidikan tinggi dan peralihan yang lebih lancar daripada program pra-universiti kepada ijazah.

  • Slot pengambilan universiti awam tahun ini akan ditambah daripada 1,500 kepada 3,000 untuk lepasan STPM dan pelajar berpencapaian tinggi.

  • Lepasan STPM dengan PNGK 4.0 akan dijamin penempatan di universiti awam. Walau bagaimanapun, kursus yang ditawarkan dan penempatan akan bergantung pada merit dan kapasiti universiti.

  • Pengambilan yang diperluas ini merangkumi kursus berikut: undang-undang; perakaunan; kewangan dan perbankan; kewangan Islam; AI; ekonomi; bahasa; komunikasi; kajian media; sains data; analisis data; dan sains komputer.

  • Anwar berkata ini sebahagiannya sebagai tindak balas kepada rasa tidak puas hati bukan Melayu bahawa anak-anak mereka tidak dapat penempatan walaupun berpencapaian tinggi semasa peperiksaan.

  • Pendidikan tinggi percuma yang dibayar oleh Tabung Pendidikan Tinggi Negara kini diperluas untuk meliputi 10,000 pelajar miskin. Sebelum ini dalam Belanjawan 2026, Anwar berkata 5,800 pelajar daripada keluarga miskin tegar akan mendapat pendidikan tinggi percuma.

  • Semua pelajar OKU peringkat sekolah menengah juga akan diberikan pendidikan percuma.

  • Pengajian am di universiti awam dan swasta akan diperbaharui, diajar dalam bahasa Melayu dan akan merangkumi pengajian mengenai Perlembagaan Persekutuan dan sejarah Malaysia. Ini hanya terpakai kepada pelajar Malaysia.

  • Politeknik dan kolej komuniti akan memberi tumpuan kepada pendigitalan dan AI.

Pembiayaan, penambahbaikan kemudahan

  • Lima sekolah rendah dan sekolah menengah akan dipilih dari setiap daerah untuk Kementerian Pendidikan memberi tumpuan kepada penaiktarafan, baik dari segi kemudahan sekolah mahupun kualiti pendidikan selaras dengan penilaian Tahun 4 dan Tingkatan 3.

  • RM100 juta diperuntukkan untuk menambah baik bilik guru

  • GLIC akan bekerjasama dengan universiti awam untuk menambah bilangan asrama universiti, dengan matlamat untuk mewujudkan 5,000 unit penginapan tambahan.

  • 10 politeknik utama akan dipilih untuk dinaik taraf


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS