Bekas pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa gabungan itu bersetuju menerima MIC sebagai salah satu parti komponen dalam mesyuarat diadakan tahun lepas.
Bagaimanapun, Muhyiddin mengesahkan bahawa PN masih menunggu maklum balas positif terhadap pelawaan tersebut demi mengukuhkan gabungan pembangkang itu.
"Kemasukan MIC ke dalam kem PN bukanlah satu rahsia memandangkan parti yang mewakili masyarakat India itu sememangnya telah menyatakan hasrat mereka sebelum ini.
"Keputusan untuk menerima MIC ke dalam gabungan tersebut sebenarnya telah dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan PN sejak tahun lalu lagi.
"Kami telah mempertimbangkan perkara tersebut, malah keputusan untuk menerima MIC telah dibuat sejak tahun lepas lagi," katanya kepada pemberita di majlis makan malam bersama media di Brickfields, Kuala Lumpur semalam.
Malaysiakini semalam melaporkan bahawa PN dikatakan meluluskan permohonan MIC untuk menyertai PN, sekali gus menandakan perubahan besar dalam landskap gabungan pembangkang itu.
Sekurang-kurangnya tiga sumber dalaman Bersatu dan PN memaklumkan kepada Malaysiakini, bahawa keputusan tersebut didakwa dicapai dalam satu mesyuarat pimpinan tertinggi PN yang berlangsung pada 9 Disember lalu.
Alasan utama penerimaan MIC, menurut sumber, bagi membolehkan PN menarik sokongan pengundi bukan Melayu, dengan fokus khusus kepada masyarakat India yang menjadi penentu di banyak kerusi bandar.
Tambahnya, mesyuarat bersetuju untuk menerima MIC sebagai komponen, walaupun mendapat tentangan daripada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Sentiasa berhubung dengan presiden MIC
Sementara itu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata status terkini penyertaan tersebut, kini berada di tangan Presiden MIC SA Vigneswaran dan jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti itu.
"Saya sentiasa berhubung dengan Presiden MIC dan Timbalan Presiden (M Saravanan) semasa mereka datang berbincang.
“Itulah yang boleh saya kongsikan buat masa ini," katanya.
Katanya, penyertaan MIC sebagai satu langkah strategik yang menarik kerana ia akan melengkapkan representasi masyarakat India di dalam blok PN atau parti-parti yang bersekutu dengannya.
"Kami sedang melihat kepada satu aturan iaitu menjadi sebahagian daripada PN, manakala satu lagi adalah kemungkinan melalui pakatan pilihan raya yang akan kita gunakan dalam mana-mana pilihan raya kelak," tambahnya lagi.
