Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun PAS 'sedih' lihat gambar pertemuan Muhyiddin di Perlis

Seorang Adun PAS mempersoal kehadiran tiga wakil rakyat yang diberhentikan keanggotaannya dalam pertemuan di antara mursyidul am parti itu, Hashim Jasin, dengan Muhyiddin Yassin.

Menganggap ia sebagai isu besar, Adun Beseri, Haziq Asyraf Dun, berkata ketiga-tiga Adun berkenaan terlibat dalam persoalan disiplin dan “pengkhianatan”.

“Kenapa mantan Adun yang terhenti keahliannya boleh berada dalam pertemuan mahabbah Tan Sri Muhyiddin dan Tuan Guru Mursyidul Am PAS?

“Soalan ini bukan kecil. Ia menyentuh soal disiplin parti, amanah dan pengkhianatan,” katanya dalam hantaran di media sosial. Ia diiringi sekeping gambar menunjukkan Muhyiddin bergambar bersama Hashim, pemimpin Bersatu Perlis serta tiga Adun yang dipertikaikan Haziq Asyraf itu.

Mereka ialah Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Turut kelihatan ialah Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ahmad Adnan Fadzil.

Muhyiddin berkunjung ke Perlis kira-kira sebulan selepas anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Shukri Ramli, meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Dia terpaksa berundur selepas gagal mendapat sokongan majoriti ahli DUN.

Mohd Shukri berdepan dengan lapan perakuan berkanun (SD) yang dikemukakan Adun Perlis, dengan tiga daripadanya ditandatangani oleh Saad, Fakhrul Anwar dan Mohd Ridzuan.

PAS kemudian memberhentikan keanggotaan ketiga-tiga Adun terbabit. PAS menganggap kejadian tersebut – yang menyaksikan Adun Bersatu menjadi menteri besar – melibatkan pengkhianatan.

Ia juga sempat menimbulkan ketegangan hubungan di antara PAS dan Bersatu sehingga membawa kepada desakan agar Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN.

PAS kemudian menegaskan bahawa mereka akan mengambil alih kepimpinan gabungan tersebut daripada Bersatu. Bagaimanapun setakat ini kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi Bersatu serta siapakah penggantinya – jika peletakan jawatan tersebut disahkan – masih menjadi tanda tanya.

Demi hubungan akrab

Haziq yang juga Ketua Pemuda PAS Perlis berkata, dia tertanya-tanya jika tindakan Adun terbabit menunjukkan mereka ada kaitan dengan perjumpaan tersebut.

“Lebih menyedihkan orang yang pernah datang berjumpa saya dan mengajak melakukan ‘benda jahat’, cuba menarik saya ke jalan khianat terhadap parti, juga berada dalam gambar yang sama,” katanya.

Dia turut “bersedih” apabila apa yang berlaku itu menunjukkan bahawa “pengkhianatan diberi ruang” sehingga menyebabkan ahli PAS keliru kerana selama ini diasuh mengenai pentingnya walak dan disiplin dalam parti.

Sementara itu Ahmad Adnan memberitahu Malaysiakini, sesuatu pertikaian, kriris atau kekeliruan antara parti tidak menjejaskan keakraban hubungan penduduk negeri terbabit.

Ahmad Adnan Fadzil

Justeru, katanya, walaupun Adun berkenaan dikenakan tindakan disiplin hubungan baik antara mereka kekal seperti biasa.

Tambahan pula, kata Ahmad Adnan, ketiga-tiga Adun berkenaan bukanlah orang baru dalam PAS malah mendapat didikan yang baik serta sejak awal lagi daripada Hashim.

“Apabila ada sesuatu majlis keraian atau kenduri, biasanya mursyidul am akan jemputlah, bukan kerana ada satu perbincangan atau sebagainya, tetapi kerana Tan Sri Muhyiddin datang untuk bertemu dengan Tuanku Raja Perlis, bertemu dengan menteri besar,” katanya.

Tambah Ahmad Adnan, Hashim merupakan tokoh yang sangat dihormati dan wajar diziarahi termasuk oleh Muhyiddin yang memang jarang berkunjung ke Perlis.

“Mursyidul am PAS ini juga terkenal dengan kemesraan beliau dari dulu lagi, dan biasanya akan jemput semua orang, saya juga dijemput, sebab itu saya pergi.

“Ia bukanlah jemputan atas nama parti, sebaliknya atas keakraban saya dengan dia daripada dulu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS