Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan Hadi 'singkir' 3 Adun Perlis belum muktamad - Mursyidul Am PAS

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata masih terdapat kemungkinan jalan penyelesaian berhubung kedudukan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Perlis yang diberhentikan pada Disember lalu, memandangkan keputusan berkenaan masih tertakluk kepada pertimbangan Majlis Syura parti itu.

Menurut Hashim, segala ketetapan yang dibuat oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berhubung kedudukan tiga Adun terbabit belum muktamad sepenuhnya kerana kuasa akhir terletak di tangan Majlis Syura.

Katanya, usaha mencari penyelesaian terhadap isu tersebut sedang giat dijalankan dan diyakini dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Pertemuan kelmarin itu, apa yang saya boleh kata, usaha untuk mencari jalan penyelesaian mengenai tiga Adun ini kita sedang giat jalankanlah. Insya-Allah, kita yakin dalam masa terdekat ini boleh selesai,” katanya kepada Malaysiakini.

Hashim berkata demikian ketika mengulas kehadiran tiga Adun PAS dalam pertemuan melibatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, di Perlis.

Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Hashim di kediaman Mursyidul Am PAS itu. Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, serta tiga Adun PAS Perlis yang keahlian mereka telah diberhentikan.

Mengulas lanjut mengenai jalan penyelesaian yang dibincangkan, Hashim menjelaskan ketiga-tiga Adun terbabit telah mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura PAS.

“(Kita bincangkan penyelesaian kepada masalah) di antara PAS Pusat dengan tiga Adun ini, mereka dah merayu balik dekat Majlis Syura dan sebagainya dan tengoklah dalam mesyuarat minggu depan kita akan putuskan,” katanya.

Tak perlu restu presiden PAS

Ditanya mengenai keputusan presiden PAS yang dilaporkan menolak rayuan tiga Adun tersebut, Hashim menegaskan bahawa keputusan muktamad masih berada di tangan Majlis Syura.

“Majlis Syura ada lagi, jadi presiden masih tertakluk kepada Majlis Syura dalam hal ini,” ujarnya.

Hashim turut menjelaskan bahawa pertemuan antara kepimpinan tertinggi Majlis Syura tidak memerlukan restu presiden.

“Pertemuan antara kepimpinan tertinggi Majlis Syura dan kita tak perlukan restu presiden untuk pertemuan tersebut,” katanya.

Terdahulu, seorang Adun PAS mempersoal kehadiran tiga wakil rakyat yang diberhentikan keanggotaannya dalam pertemuan di antara mursyidul am parti itu, Hashim Jasin, dengan Muhyiddin Yassin.

Menganggap ia sebagai isu besar, Adun Beseri, Haziq Asyraf Dun (gambar bawah), berkata ketiga-tiga Adun berkenaan terlibat dalam persoalan disiplin dan “pengkhianatan”.

“Kenapa mantan Adun yang terhenti keahliannya boleh berada dalam pertemuan mahabbah Tan Sri Muhyiddin dan Tuan Guru Mursyidul Am PAS,” soalnya melalui hantaran di media sosial yang turut diiringi sekeping gambar menunjukkan Muhyiddin bergambar bersama Hashim, pemimpin Bersatu Perlis serta tiga Adun yang dipertikaikan Haziq Asyraf itu.

Dalam pada itu, Hashim menyatakan keyakinannya bahawa semua pihak sedang berusaha untuk meredakan keadaan serta mengelakkan perpecahan dalam parti.

“Dalam suasana sekarang ini saya yakin usaha untuk menjernihkan suasana giat dijalankan dan saya juga yakin bahawa tidak ada seorang pun yang suka kita bergaduh dan berpecah. Jadi, kita akan balik kepada jalan yang betul,” katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga Adun berkenaan juga berharap agar isu tersebut dapat diselesaikan secara baik kerana ia bukan sesuatu yang tidak boleh diubah.

“Ketiga-tiga Adun itu juga sekarang ini mengharapkan masalah ini diselesaikan, bukan benda tak boleh ubah… peraturan itu. Insya-Allah,” katanya.

Pada 24 Dis lalu, PAS memaklumkan keahlian tiga Adun Perlis parti itu terhenti berkuat kuasa serta-merta.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Fasal berkenaan merujuk kepada tindakan yang menyebabkan keanggotaan seseorang terhenti, termasuk menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Tindakan itu dikenakan terhadap Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada 29 Disember lalu telahpun menyerahkan notis pengosongan tiga kerusi DUN kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perlis.

Speaker DUN, Rus'sele Eizan ketika itu dipetik berkata serahan notis pengosongan kerusi itu kepada SPR Perlis membabitkan kerusi DUN Bintong, DUN Guar Sanji dan DUN Chuping yang mana ketiga-tiga kerusi berkenaan dimenangi PAS.

Bagaimanapun, tiga hari kemudian pada 31 Disember DUN Perlis menarik semula pemakluman kepada SPR berhubung permohonan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) kepada bagi tiga kerusi Adun yang diberhentikan keahlian mereka daripada PAS sebelum ini.

Walaupun tiada berlakunya PRK, speaker DUN berkata kerusi berkenaan akan kekal dibiarkan kosong sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

"Namun kekosongan luar jangka bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji adalah kekal berkuat kuasa sebagaimana surat saya bertarikh 29 Disember lalu," je;asnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS