PARLIMEN | Langkah kerajaan untuk membatalkancadangan ujian saringan diagnostik bagi kelayakan kemasukan murid ke Tahun Satu di usia enam tahun terus dikritik pembangkang.
Awang Hashim (PN-Pendang) menyifatkan langkah itu menunjukkan kerajaan tidak konsisten, selain mencerminkan tiadanya perancangan rapi dalam merangka dasar pendidikan negara.
Kata Awang, perubahan pendirian itu dibuat secara tergesa-gesa, malah seperti bergantung kepada ilham peribadi.
“Mungkin dengan (solat) istikharah banyak. Mungkin dapat (idea) untuk laksanakan (ujian diagnostik) itu dalam solat istikharah yang pertama, selepas itu dia buat pula istikharah yang kedua dan dapat ilham tak boleh dilaksanakan.
“Jadi, dalam masa yang pantas dia boleh tukar (ketetapan). Maknanya persiapan memang tak ada master plan berkenaan ujian diagnostik ini,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) membuat celahan dengan bertanya pendirian Awang berhubung perubahan itu, dan jika ia mencerminkan masalah dalam kestabilan proses membuat keputusan.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan dia bersetuju untuk membatalkan cadangan ujian saringan diagnostik tersebut setelah mempertimbangkan pelbagai pandangan, termasuk kebimbangan mengenai kesan psikologi terhadap kanak-kanak.
Katanya, ujian tersebut dikhuatiri boleh bersifat diskriminasi dan memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak.
Sementara itu, Hamzah Zainuddin (PN-Larut) dalam sidang medianya hari ini berkata sebarang keputusan berkaitan pendidikan tidak boleh dibuat secara “flip flop” (berubah-ubah).
“Minggu lepas kita bangkitkan isu kemasukan murid enam tahun dan isu infrastruktur (di sekolah). Akhirnya pada Selasa kerajaan buat perubahan lagi.
“Apakah isu pendidikan boleh kita lakukan secara flip-flop? Bukankah rakyat dah bangkitkan isu ini banyak kali?
“Biarlah ia konsisten. Takkanlah isu pendidikan ini boleh kita buat dalam masa lima enam hari, (kemudian) tukar,” katanya.
‘Jangan lagi flip flop’
Katanya lagi, pelaksanaan ujian diagnostik, yang membabitkan begitu ramai murid, memerlukan tempoh dan sumber yang besar dan keputusan tergesa-gesa kerajaan menimbulkan persoalan mengenai perancangan dasar yang betul.
Hamzah turut mempersoalkan pengumuman kerajaan untuk menambah RM800 juta bagi infrastruktur sekolah, sambil menegaskan jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung keperluan sebenar, termasuk pengambilan guru baru.

“Ini baru infrastruktur. Belum campur gaji guru. (Nanti) minggu depan jawab ‘tak jadi RM800 juta, kita naikkan jadi RM2 bilion’,” sindirnya, sambil menambah setiap dasar baru harus dirancang dengan teliti sebelum diumumkan.
Dia merujuk peruntukan yang diumumkan kerajaan, antaranya untuk pengambilan guru baru dan penyediaan bilik darjah tambahan, bagi memastikan dasar kemasukan murid tahun satu di usia enam tahun berjalan lancar pada tahun depan.
Hamzah berkata pembangkang sentiasa sedia untuk menyokong dasar kerajaan asalkan ia dibuat selepas kajian dan perbincangan yang menyeluruh.
“Itu yang kami minta. Jangan lagi flip-flop, kluk-klek. Kami mahukan masa depan yang lebih baik dan bersedia menyokong segala polisi yang kerajaan cadangkan, asalkan ia boleh diterima rakyat, praktikal untuk dilaksanakan, dan menjadi dasar yang boleh dibanggakan bersama,” katanya lagi.
