PARLIMEN | Seorang ahli parlimen kerajaan yang berbahas mengenai titah diraja hari ini menegaskan kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mencegah penyalahgunaan lanjut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), susulan kes penahanan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Kedah minggu lalu di bawah akta itu.
Ramkarpal Singh (PH–Bukit Gelugor), yang juga bekas timbalan menteri undang-undang, menggesa Kementerian Dalam Negeri serta Menterinya, Saifuddin Nasution Ismail, mempercepatkan pindaan yang dijanjikan atau memansuhkan undang-undang berkenaan.
Merujuk kepada kenyataan dilaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, Ramkarpal berkata perkara ini sekarang berada di bawah budi bicara Kementerian Dalam Negeri.
“Saya menggesa Kementerian Dalam Negeri, atau menteri dalam negeri, untuk mengambil tindakan secepat mungkin bagi menangani isu ini dan mencegah penyalahgunaan Sosma pada masa depan.

“Ini sesuatu yang amat mustahak dan mesti dilakukan tanpa berlengah,” tegasnya.
Semalam, Azalina menyifatkan Sosma sebagai “dianggap tidak adil”, namun menegaskan beliau tidak boleh campur tangan dalam kes melibatkan seorang kanak-kanak yang ditahan, dengan alasan had bidang kuasa antara kementerian.
Beliau turut berkata ia berada dalam bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri untuk membuat perubahan dan pembaharuan yang perlu.
Dalam ucapannya, Ramkarpal menyifatkan penahanan remaja berkenaan sebagai satu “contoh yang menunjukkan dengan jelasnya” penyalahgunaan undang-undang penahanan tanpa perbicaraan.

"Bayangkan Tuan Speaker, sekiranya penahanan gadis 16 tahun ini tidak didedahkan atau dibongkarkan oleh ibunya dan juga beberapa pihak yang lain, ada will we know about it?
"Adakah kita akan tahu bahawa mereka pakai Sosma ini terhadap satu kanak-kanak?
"Kanak-kanak itu - kita semua tahu ada peguam beberapa peguam di sini dari sebelah sini dan juga sebelah sana, kita tahu - it is elementary and basic bahawa seorang kanak-kanak itu perlu ditangani di bawah akta kanak-kanak.
"Di bawah akta kanak-kanak tersebut, beliau perlu di bawah dihadapkan ke mahkamah dalam masa tertentu iaitu 24 jam.

"Tapi di bawah Sosma, tidak terdapat peruntukan tersebut. Di bawah Sosma, seorang itu boleh ditahan selama 28 hari tanpa di bawah ke mahkamah,” katanya.
Minggu lalu, ibu remaja itu memberitahu Free Malaysia Today bahawa anak perempuannya ditahan di satu sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Jitra pada 14 Jan, atas syak “penyeludupan migran”.
Menurut ibu tersebut, seorang pegawai polis memaklumkan bahawa anaknya telah ditahan bersama bapa remaja itu serta beberapa individu lain untuk disiasat di bawah Sosma dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, mengesahkan penahanan itu kepada FMT memaklumkan remaja tersebut dibebaskan pada Jumaat (23 Jan), selepas sembilan hari ditahan.

Tuan Ibrahim Tuan Man (PN–Kubang Kerian) ketika mencelah pula menyokong gesaan Ramkarpal agar pembaharuan Sosma dilakukan segera, sambil mengingatkan bahawa perkara itu telah disenaraikan sebagai janji pilihan raya Pakatan Harapan sekiranya diberi mandat memerintah.
“Saya fikir apa dibangkitkan itu ialah memperkukuhkan sepatutnya yang dah jadi dalam manifesto dilaksanakan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Tuan Ibrahim turut menggesa kerajaan mendedahkan jumlah keseluruhan tangkapan dan penahanan di bawah Sosma, yang kemudiannya disokong Ramkarpal dengan alasan perlunya ketelusan dalam perkara tersebut.
Pada satu jawapan bertulis parlimen baru-baru ini, Saifuddin berkata rang undang-undang untuk meminda Sosma dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang.
