Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
The Voice of Hind Rajab: Malaysia catat tontonan ketiga tertinggi di dunia

Filem The Voice of Hind Rajab mencatatkan lebih 60,000 tontonan di Malaysia, iaitu ketiga tertinggi di dunia, mencerminkan keprihatinan rakyat negara ini terhadap isu kemanusiaan di Palestin.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sambutan itu sekali gus menunjukkan sokongan padu terhadap karya yang memperjuangkan dan mengangkat suara golongan terpinggir, khususnya kanak-kanak di negara itu yang terkesan akibat konflik ketenteraan.

“Filem ini terus mencatatkan pencapaian membanggakan pada peringkat global apabila Malaysia muncul sebagai negara ketiga dengan jumlah tontonan tertinggi di dunia, di belakang Perancis dan Itali.

“Solidariti kemanusiaan tidak mengenal sempadan bangsa dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata filem itu memberi gambaran di sebalik angka serta laporan berita, terdapat nyawa keluarga dan masa depan kanak-kanak yang perlu dipertahankan.

Beliau turut menganjurkan tayangan khas filem itu yang disertai 120 penduduk Kulai di GSC Cinema, IOI Mall Kulai hari ini.

Penganjuran program seperti itu, menurut beliau bukan sekadar program tontonan, malah menjadi platform pendidikan dan kesedaran awam dalam menyemai empati, kesedaran sejagat serta nilai kemanusiaan merentas latar belakang masyarakat.

Sehubungan itu, Teo berkata inisiatif seumpama itu akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh nilai empati, kemanusiaan dan tanggungjawab dalam kalangan masyarakat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS