Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Genap sebulan pemandu letak jawatan, kami hanya nak teruskan perjalanan’
Diterbitkan:  Feb 2, 2026 9:09 AM
Dikemaskini: 1:09 AM

Setiausaha politik kepada Presiden PAS, Syahir Sulaiman meminta beberapa pihak dalam Bersatu agar tidak lagi menulis berkenaan “hal sulit” dalam PN secara terbuka, sebaliknya setuju dengan gencatan senjata.

Dalam hantaran di Facebook semalam, Syahir berkata pihaknya hanya ingin meneruskan perjalanan selepas genap sebulan “pemandu bas” meletakkan jawatan, merujuk kepada peletakan jawatan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.

Perjalanan tergendala. Penumpang gelisah. Keluarga (rakyat) menunggu. Kami hanya mahu teruskan perjalanan.

“Mengapa perlu menulis hal ‘sulit’ secara terbuka?

“Justeru atas rasa hormat kepada kekanda Datuk Dr M & Tun F, permintaan saya; cukup-cukuplah menulis,” katanya, dipercayai merujuk kepada bekas pegawai kanan Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad dan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz.

PAS pada mulanya dilihat bakal mengetuai PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin, dengan parti itu dilaporkan telah mengemukakan tiga nama sebagai calon untuk menggantikannya. 

Namun, timbul cadangan untuk pemerkasaan Majlis Presiden - yang diketuai Bersatu - dan pembentukan Majlis Eksekutif - yang diketuai PAS - yang akan membawa kepada pemansuhan jawatan pengerusi. 

Marzuki Mohamad

Dalam hantaran di media sosial semalam, Marzuki mendakwa kebuntuan pada masa ini PN berpunca daripada dua parti komponen, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang tidak setuju PAS menjadi pengerusi gabungan.

Katanya, keputusan untuk memansuhkan jawatan itu malah dicapai hasil perbincangan di antara Muhyiddin dengan pemimpin kanan PAS pada 16 Jan lalu, yang antaranya dihadiri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man dan Takiyuddin Hassan (setiausaha agung).

Sementara itu, Syahir yang juga anggota Parlimen Bachok berkata soal struktur PN lebih baik diserahkan kepada pucuk pimpinan menerusi mesyuarat “full council” dengan segera.

“Jika kalian berpandangan Muhyiddin adalah Pengerusi PN yang masih ‘berkuatkuasa’, mudah sahaja, sila panggil mesyuarat segera,” katanya.

Dia juga berkata PAS kini sedang mempersiapkan jenteranya bagi menghadapi pilihan rayanya, bulan hanya di 43 kerusi Parlimen yang dipegangnya, tetapi di beberapa kerusi lain lagi.

“Di Perak dan Melaka, kami telah lancarkan jentera pilihanraya. Negeri lain, bakal menyusul. Di pihak PAS, jentera sudah siap siaga. Tabung sudah dikira. Calon pun sudah turun bekerja.

“Ada baiknya kita di peringkat ‘operator’ ini bersetuju untuk gencatan senjata.

“Kami hanya mahu teruskan perjalanan. Jangan berlengah lagi,” katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS