mk-logo
Berita
Pilihan raya datuk bandar laluan KJ untuk jadi PM?

Bulan lalu, bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming mencuri tumpuan apabila menyokong kemungkinan Khairy Jamaluddin menjadi Perdana Menteri, sambil berkata dia sedia berkhidmat dalam kabinet bekas pemimpin Umno itu.

Walaupun ia mencetuskan keterujaan, realiti politik Malaysia menjadikan hampir mustahil untuk Khairy menjadi Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Ini kerana sistem Parlimen memerlukan Khairy mendapat sokongan daripada ahli politik yang menang pilihan raya dan juga institusi parti — bukan daripada rakyat — untuk menjadi Perdana Menteri.

Sehingga kini, Khairy dianggap sebagai orang luar dalam politik selepas dipecat daripada Umno, manakala sistem pilihan raya majoriti mudah (first-past-the-post, FPTP) menyukarkan mana-mana parti baru untuk bertapak.

Namun, satu cadangan yang sedang dikaji mungkin menyediakan platform kepada bekas ketua Pemuda Umno itu untuk meningkatkan lagi popularitinya dan pada masa sama membuktikan keupayaan mentadbir negara - pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur.

Jika dilaksanakan, ia akan menjadi jawatan eksekutif pertama yang dipilih secara langsung oleh rakyat di negara ini.

Cara membuka sistem politik

Bercakap kepada Malaysiakini, ahli sains politik Universiti Sunway, Wong Chin Huat berkata pilihan raya datuk bandar adalah salah satu daripada dua idea mudah yang boleh membuka landskap politik.

“Untuk Khairy dan Ong menubuhkan parti baru dan menjadi Perdana Menteri, parti baru mereka itu perlu merampas undi dan kerusi yang cukup daripada parti sedia ada untuk muncul sebagai parti yang terbesar. Ia tidak mustahil, tetapi persaingannya sengit.

“Cara paling realistik untuk membuka sistem politik bukan dengan menukar sistem raja berperlembagaan atau parlimen kita, tetapi dengan melakukan sesuatu yang lebih mudah. 

“Pertamanya dengan mengubah sistem pilihan raya supaya sebahagian besar kerusi - jika tidak semua - menjadi kerusi perwakilan berkadar, seterusnya membolehkan parti baru memerintah.

“Kedua, mengadakan pilihan raya datuk bandar untuk pemimpin karismatik seperti Khairy, supaya sokongan popular boleh membantunya membina gabungan sebelum atau selepas pilihan raya, walaupun partinya tidak menang majoriti,” kata Wong.

Sistem perwakilan berkadar membolehkan parti memperoleh kerusi selaras dengan jumlah undi mereka. 

Ia membolehkan parti baru dan kecil memperoleh kerusi dan pengaruh dan pada masa sama mengelakkan kelemahan sistem FPTP, di mana dalam pertandingan berbilang penjuru, calon yang mendapat undi terbanyak menang walaupun dia meraih kurang daripada 50 peratus undi.

Walaupun pilihan raya datuk bandar menandakan evolusi yang signifikan bagi demokrasi Malaysia, terdapat banyak halangan untuk melaksanakannya.

Halangan itu terutama  daripada parti politik Melayu berhaluan kanan, yang sejak sekian lama menentang pilihan raya kerajaan tempatan atas tanggapan ia akan menghakis kuasa Melayu di kawasan bandar di mana majoriti penduduknya bukan Melayu.

Beberapa pemimpin Umno telah memberi respons segera terhadap kajian untuk melaksanakan pilihan raya datuk bandar, dengan bantahan lebih bertumpu kepada sentimen Melayu berbanding merit pelaksanaannya.

PAS juga dijangka menyuarakan bantahan, walaupun Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar memberi respons bersederhana dengan menekankan beberapa kebimbangan berhubung cadangan itu.

Bantahan sebegini akan menjadi faktor penting dalam keputusan kerajaan sama ada untuk melaksanakan sebarang bentuk pilihan raya kerajaan tempatan atau tidak.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah menunjukkan bahawa dia mengambil kira sentimen Melayu, iaitu demografi pengundi penting yang dilihat kurang menyokong PH.

Pada masa sama, kecenderungan itu berisiko menghakis sokongan orang bukan Melayu kepada PH, dan boleh menjejaskan dominasi gabungan itu di Kuala Lumpur sepanjang dekad lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS