Beberapa pakar dasar pendidikan dan psikologi kanak-kanak menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang dilihat sebagai pembuatan keputusan secara tergesa-gesa, susulan keputusan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk membatalkan ujian diagnostik bagi kemasukan awal ke sekolah rendah.
Bercakap dengan Malaysiakini, mereka membantah tindakan “flip flop” berdasarkan sentimen politik dan menggesa dasar digubal berasaskan bukti, yang memerlukan perancangan serta pelaksanaan yang teliti, cermat dan telus.
“Membimbangkan apabila reformasi besar seperti ujian kemasukan boleh diumum dan ditarik balik hanya dalam masa beberapa hari,” kata pengurus penyelidikan Ideas Malaysia, Amalina Annuar.
“Kami bimbang perancangan pendidikan jangka panjang terlalu mudah dipengaruhi perubahan dasar yang populis secara tiba-tiba, bukannya keputusan berasaskan bukti,” tambahnya, dan menekankan kepentingan dasar pendidikan yang kukuh sebagai pelaburan jangka panjang.
Pada 20 Januari, Anwar melancarkan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, yang memperkenalkan beberapa inisiatif baru termasuk memberi pilihan kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun Satu jika yakin anak mereka sudah bersedia, yang akan mula dilaksanakan tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada mulanya berkata ia akan dilaksanakan secara berfasa dan melibatkan penilaian diagnostik bagi menentukan tahap kesediaan kanak-kanak.

Namun, seminggu kemudian, Anwar mengumumkan ujian saringan diagnostik dibatalkan tersebut susulan kebimbangan ia boleh menjejaskan psikologi kanak-kanak.
Anwar bagaimanapun memberi jaminan walaupun tanpa ujian diagnostik, pemantauan terhadap kesediaan murid tidak akan diabaikan, dan menyeru ibu bapa serta guru untuk berkongsi tanggungjawab melalui pemerhatian berterusan.
Pembangkang mengkritik tindakan U-turn itu, menggesa kerajaan agar berhenti “melayan kanak-kanak seperti tikus makmal” dengan dasar pendidikan yang tidak konsisten dan separuh masak.
Pengarah urusan LeapEd Malaysia, Nina Adlan Disney berkata perubahan dasar pendidikan ekoran ketidaktentuan politik bukanlah perkara baru.
“Banyak dasar negara kita, khususnya dalam pendidikan, apabila sesuatu tidak berfungsi, kerajaan cenderung untuk cepat ‘flip-flop’, bukannya benar-benar memastikan perubahan dan reformasi itu dilaksanakan sepenuhnya.
“Malangnya, kadang-kala perubahan dasar kita juga tidak berasaskan data atau bukti.
“Misalnya, UPSR pada mulanya dibatalkan kerana Covid-19. Tetapi kemudian kerajaan meneruskan pemansuhannya secara kekal,” katanya.
Bagi mengelakkan ketidaktentuan berterusan, Nina menggesa badan bebas diwujudkan bagi memantau dan menilai rancangan pendidikan baru tersebut.

“Kita perlukan badan bebas untuk benar-benar menyemak dan menilai sama ada kita berada di landasan yang betul, serta melakukan pembetulan hala tuju jika perlu.
“Semua ini perlu dilakukan awal – bukan pada 10 tahun terakhir apabila kerajaan akhirnya melihat semula pelaksanaan dan menyesal kerana gagal mencapai sejumlah sasaran,” katanya lagi.
Alternatif kepada ujian diagnostik
Walaupun kerajaan memutuskan untuk membatalkan ujian diagnostik, ahli psikologi klinikal, Jama’atul ‘Adauyah Shafiee menjelaskan pemantauan kesediaan kanak-kanak masih boleh dilakukan melalui kaedah lain.
Dia berkata walaupun penilaian sebegitu berguna, terutama dalam mengesan masalah pembelajaran dan keperluan perkembangan khas, ia tidak seharusnya menjadi satu-satunya kaedah untuk menilai kesediaan kanak-kanak memasuki sekolah rendah.
Jama’atul juga menegaskan penilaian ini tidak boleh digunakan untuk menentukan kedudukan akademik atau “menghalang” kemasukan awal, dan mengingatkan bahawa kelas saringan pemulihan masih wujud untuk membantu murid yang ketinggalan.
Mengenai kemasukan murid berusia enam tahun, dia berkata secara umum ia tiada masalah selagi mereka bersedia dari segi perkembangan.
“Secara umumnya, di usia enam tahun kanak-kanak boleh mengenal huruf dan nombor, mengikut arahan, bergaul dengan rakan, mengurus kebersihan asas dan emosi.
“Tapi pada akhirnya, ia bukan bergantung pada umur, tetapi sama ada mereka telah mencapai tahap perkembangan yang diperlukan atau tidak, serta jika sistem dan infrastruktur kita sudah bersedia,” katanya.

Namun, dia mengingatkan ramai kanak-kanak turut terjejas akibat pandemik Covid-19, dan ibu bapa serta guru perlu mengambil kira hal itu ketika menilai kesediaan mereka.
“Banyak kajian di peringkat global menunjukkan sekatan pergerakan semasa Covid-19 menjejaskan kemahiran motor, interaksi sosial dan keupayaan mengawal emosi.
“Jadi, suasana sekolah formal yang memerlukan mereka duduk lama, kelas yang besar, tuntutan akademik dan kerja rumah mungkin memberi tekanan dan belum sesuai dengan tahap perkembangan mereka.
“Ada juga kerisauan berhubung guru yang belum bersedia atau persekitaran pembelajaran tidak disesuaikan untuk kanak-kanak lebih muda,” katanya.
Pengesan awal keperluan pembelajaran
Jama’atul berpendapat bahawa jika dilaksanakan dengan betul, pendedahan awal melalui penurunan umur untuk kemasukan sekolah rendah boleh membantu mengesan kesukaran pembelajaran dan keperluan khas lebih awal – terutama jika prasekolah tertentu tidak mempunyai kapasiti untuk mengesannya.
Ia juga boleh memberi manfaat kepada murid yang lebih ke hadapan dari segi perkembangan, membolehkan mereka berkembang dalam persekitaran yang lebih mencabar dan sesuai dengan keupayaan mereka.
Membangkitkan kebimbangan yang sama, Amalina dari Ideas Malaysia memberi amaran yang pelaksanaan yang lemah tanpa menangani jurang struktur lain boleh “memburukkan, bukannya meningkatkan” hasil pembelajaran.

“Berdasarkan kegiatan Ideas dengan komuniti Orang Asli dan kanak-kanak autistik, ujian tanpa kapasiti untuk menyediakan sokongan pemulihan bermakna, rujukan sesuai, guru terlatih dan sumber kelas yang mencukupi berisiko menambah tekanan dan stigma.
“Pendedahan awal memang membantu mengesan keperluan khas, tetapi ia tidak semestinya melalui peperiksaan formal. Ia boleh dilakukan melalui pemerhatian,” katanya.
Risiko pelaksanaan lemah
Senada dengan Jama’atul, Teach For Malaysia (TFM) mencadangkan pendaftaran awal boleh digunakan untuk melaksanakan intervensi bersasar dan kaedah pembelajaran berbeza.
Lebih penting, NGO pendidikan itu berkata langkah tersebut boleh memberi peluang lebih baik kepada kanak-kanak daripada latar belakang kurang bernasib baik yang mungkin tiada akses ke prasekolah yang bermutu.
“Dari sudut kesaksamaan, menurunkan umur kemasukan boleh memberi manfaat kepada kanak-kanak dan keluarga yang bergantung pada sekolah awam atau tiada akses kepada prasekolah yang baik, membolehkan mereka mendapat asas pembelajaran yang berstruktur dan dikawal selia melalui sistem sekolah.
“Namun, kejayaan perubahan dasar ini bergantung sepenuhnya pada tahap kesiapsiagaan sistem untuk melaksanakannya,” katanya.
Tanpa pelaksanaan yang baik, kata TFM lagi, dasar sebegini hanya akan memberi manfaat secara tidak seimbang kepada keluarga yang sudah berada dalam kedudukan lebih baik.
