mk-logo
Berita
Idris tegur pihak 'cerdik tak boleh ditumpang, bodoh tak boleh diajar'
Diterbitkan:  Feb 3, 2026 4:34 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Ketika perbalahan antara parti dan sesama ahli mula kelihatan mengendur ekoran 'arahan' gencatan senjata dikeluarkan kelmarin, seorang pemimpin PAS hari ini cuba menyiram air agar ia benar-benar terkawal.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata berbeza pandangan dalam perjuangan adalah sesuatu yang lumrah, namun jika ia membawa kepada perbalahan, kesannya ialah kecederaan dan "sumbing" yang sukar disembuhkan.

Katanya, antara tanda seseorang itu matang dalam bergerak bersama jemaah ialah sering berlapang dada terhadap sesuatu keputusan yang dibuat oleh pimpinan.

Pada masa sama, katanya, ahli parti perlu berhati-hati apabila mereka suka berbalah dan bergaduh dengan semua orang serta menganggap hanya diri sendiri yang betul.

"Mungkin dia diperalat oleh musuh secara tidak sedar, mungkin itulah karekternya.

"Mungkin ia jenis manusia cerdik tidak boleh ditumpang atau bodoh tidak boleh diajar. Apa pun, jangan biarkan jamaah diruntuhkan dari dalam," katanya dalam hantaran di media sosial petang ini.

Pengunduran Muhyiddin Yassin dari jawatan Pengerusi PN bukan saja membawa krisis antara parti, malah berjangkit menjadi pertembungan padangan dalam PAS sendiri.

Di sebalik gesaan PAS agar kepimpinan PN diambil alih oleh parti itu, beberapa individu berpengaruh pula lebih cenderung mahu agar Presiden Bersatu itu dikekalkan sebagai ketua gabungan pembangkang.

Niat yang betul

Pada masa sama pengunduran Muhyiddin itu belum disahkan seperti dikehendaki oleh Perlembagaan PN, di sebalik gesaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, agar mesyuarat tergempar diadakan bagi memuktamadkannya.

Gelora dalaman juga menyaksikan beberapa pihak menyatakan rasa kurang senang dengan rancangan menaikkan seorang tokoh bukan agamawan sebagai pengganti Muhyiddin.

Nama yang dikaitkan dengan calon itu ialah seorang lagi Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pihak terbabit juga mengaitkan perkembangan yang berlaku itu dengan "kumpulan Jebon" yang dialami PAS sehingga mencapai kemuncaknya pada 2015.

Kelmarin, salah seorang watak yang berada dalam lingkungan dekat dengan Abdul Hadi, Syahir Sulaiman, menasihatkan agar semua pihak mengadakan 'gencatan senjata' bagi mengelak krisis menjadi lebih parah.

Antara lain, Syahir - yang juga Ahli Parlimen Bachok - menasihatkan pihak yang berkenaan agar "cukup-cukuplah menulis" dan menyerang sesama sendiri.

Menurut Idris masa yang lama diperlukan untuk "membina jamaah" tetapi bagi meruntuhkannya, ia boleh dilakukan dengan "sekelip mata" saja.

"Berdiam diri demi jamaah lebih mulia daripada bersuara demi kepentingan diri.

"Nawaitu yang betul akan mendahulukan perjuangan, bukan perasaan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS