mk-logo
Berita
NGO pertahan perarakan penyokong Selangor FC
Diterbitkan:  Feb 3, 2026 9:07 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

NGO belia Mandiri mempertahankan tindakan penyokong Selangor FC membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu ketika perlawanan Liga Super baru-baru ini.

Penyelaras Mandiri, Muhammad Fakrurrazzi Khairur Rijal berkata menjadi hak setiap warga berarak secara aman tanpa unsur keganasan, vandalisme atau ancaman keselamatan seperti mana termaktub Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

"Mandiri ingin menegaskan bahawa sebarang bentuk perhimpunan yang dilakukan secara aman, tanpa unsur keganasan, vandalisme atau ancaman keselamatan seharusnya dinilai dengan sewajarnya berdasarkan prinsip-prinsip asas yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

"Perarakan yang dilakukan oleh 'Ultras Sel' (penyokong Selangor FC) adalah tindakan biasa yang dilakukan sejak sekian lama dan tidak melibatkan sebarang kecederaan awam, kerosakan harta benda atau insiden rusuhan yang boleh membenarkan tindakan penahanan secara beramai-ramai.

"Walaupun mungkin berlaku gangguan lalu lintas bersifat sementara, keadaan tersebut tidak sewajarnya dijadikan asas untuk tindakan penahanan, apatah lagi penahanan bagi tempoh yang panjang," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Fakrurrazzi, keadaan ini sekiranya diuruskan lebih awal oleh pihak polis; khususnya melalui pengaturan lalu lintas yang berkesan, sudah tentu dapat mengelakkan ianya berkembang menjadi isu yang lebih besar.

Dia berkata pendekatan sedemikian turut diamalkan di banyak negara yang matang dari sudut demokrasi dan mempunyai budaya sokongan bola sepak yang kuat, termasuk di United Kingdom.

Semalam, 33 penyokong Selangor FC direman bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang dicetuskan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu. Polis berkata selain dakwaan mengganggu tugas penjawat awam, mereka turut ditahan atas kesalahan memiliki dan positif dadah.

Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Kejadian kira-kira 6.30 petang itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super membabitkan Terengganu FC menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor memaklumkan kira-kira 400 penyokong ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi menjalani pemeriksaan saringan air kencing.

Sementara itu, Mandiri menggesa pihak polis Kuala Terengganu segera membebaskan kesemua penyokong yang ditahan sekiranya tiada asas kukuh di sisi undang-undang.

"Mandiri percaya bahawa budaya sokongan dalam sukan tidak wajar dilayan sebagai satu bentuk jenayah, sebaliknya perlu diurus secara profesional demi menjamin kebebasan awam, keselamatan serta keharmonian dalam arena sukan negara.

"Keadaan ini jika berterusan hanya akan membunuh semangat anak muda untuk menyokong bola sepak tempatan, yang kini semakin berdepan kemerosotan sokongan," katanya lagi.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu itu.

Sebagai penaung Selangor FC, baginda tidak berkenan dengan budaya samseng dan gangsterisme dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya penyokong Selangor FC.

“Baginda mahu agar pihak polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekiranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.

“la sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” menurut kenyataan Istana Alam Shah hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS