PN menyifatkan pelaksanaan pilihan raya bagi Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak semestinya akan menjamin perkhidmatan dan tadbir urus ibu kota akan bertambah baik.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata pandangan itu adalah terlalu “simplistik dan naif”, malah boleh melemahkan kepimpinan dan tadbir urusnya.
“Kecekapan pentadbiran sesebuah bandar raya tidak sangat bergantung kepada cara bagaimana kepimpinannya ditentukan, sama ada dipilih atau dilantik, tetapi berdiri atas kekuatan institusi, sistem governans dan budaya pengurusannya.
“Tidak ada jaminan bahawa pilihan raya Datuk Bandar akan secara automatik membawa kepada penyampaian perkhidmatan atau governans lebih baik.
“Malah sistem sedemikian boleh membawa masalah tambahan lain, termasuk pempolitikan pentadbiran bandar raya, populisme elektoral, konflik Datuk Bandar yang dipilih dengan kerajaan persekutuan serta ketidakstabilan dasar yang dipacu oleh kitaran pilihan raya, bukan dasar perancangan bandar jangka panjang,” kata Takiyuddin dalam kenyataan hari ini.
Pada 1 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan berkata jabatannya sedang mengkaji pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Kenyataan itu segera dibantah beberapa pemimpin Umno dan PAS, yang rata-ratanya mendakwa ia akan menjejaskan kedudukan Melayu di bandar raya itu.
Bagaimanapun Yeoh mempertahankan kajian itu, yang menurutnya dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan telah dibuat Disember lalu, iaitu sebelum dia memegang jawatan itu.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata terdapat pendekatan yang lebih praktikal dan realistik untuk meningkatkan pencapaian DBKL.
Antaranya dengan menumpukan kajian kepada isu-isu langsung seperti struktur organisasi, mutu kepimpinan, mekanisme penguatkuasaan serta koordinasi antara unit, agensi dan kerajaan pusat.
“Tanpa menangani isu-isu teras ini terlebih dahulu, cadangan pilihan raya datuk bandar berpotensi mewujudkan harapan palsu dalam kalangan orang awam, selain menimbulkan masalah governans lain yang akan semakin melemahkan DBKL akibat salah fokus dan keutamaan,” katanya.
Justeru, katanya lagi, PN menggesa pihak kementerian agar menilai semula fokus kajian dengan mengutamakan reformasi institusi, pentadbiran dan undang-undang yang lebih menyeluruh, bukannya “mengheret rakyat ke arah eksperimentasi dan roller coaster politik dan idea yang berbahaya serta tidak berpijak di alam nyata.”
Isu undang-undang
Setiausaha agung PAS itu juga membangkitkan isu perundangan dan perlembagaan yang menurutnya perlu ditangani terlebih dahulu.
Menurutnya, DBKL ditadbir mengikut Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan undang-undang lain yang berkaitan dan sebarang langkah ke arah pilihan raya datuk bandar menuntut undang-undang sedia ada tersebut perlu dikaji semula.
“Ini termasuklah pertimbangan teliti mengenai bagaimana peranan tersebut boleh wujud bersama-sama bidang kuasa Menteri Wilayah Persekutuan dan eksekutif persekutuan lain.
“Tanpa pindaan undang-undang dan perlembagaan yang jelas berkait skop kuasa eksekutif, bidang kuasa belanjawan, lini akauntibiliti dan mekanisme penyuraian konflik, pengenalan pilihan raya datuk bandar berisiko mencetuskan kekeliruan institusi, pertindihan bidang kuasa serta potensi konflik dan cabaran undang-undang,” katanya lagi.
