Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Langkah mayat kami - Isu Datuk Bandar KL ancam kedaulatan Melayu’
Diterbitkan:  Feb 3, 2026 11:34 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Cadangan Jabatan Wilayah Persekutuan untuk menjalankan kajian mengenai kebolehlaksanaan mengadakan pilihan raya datuk bandar bagi Kuala Lumpur terus mendapat bantahan.

Hari ini, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan pula menyuarakan amaran keras dengan menyifatkannya sebagai satu ancaman terus kepada kedaulatan Melayu dan keseimbangan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua pemudanya, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin, menegaskan bahawa Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah kota, tetapi merupakan "amanah ummah" yang tidak sepatutnya dijadikan makmal eksperimen politik oleh mana-mana pihak.

“Kami memberi amaran awal dan terbuka kepada Menteri Wilayah Persekutuan (Hannah Yeoh). Jangan menguji kesabaran rakyat bandar.

"PAS Wilayah Persekutuan tidak akan berdiam diri sekiranya langkah ini diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan media yang sarat dengan nada amaran, hari ini.

Azmer mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh baru-baru ini berhubung cadangan mengkaji semula pilihan raya tersebut.

Yeoh dilaporkan berkata, pilihan raya itu dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya melalui pilihan raya kerajaan tempatan.

Mengulas cadangan itu, Azmer Syazwan berkata sekiranya jawatan datuk bandar dipilih melalui mandat popular, ia berisiko mewujudkan figura “political strongman” yang mempunyai legitimasi politik lebih kuat daripada ahli Parlimen, sekali gus berpotensi mengabaikan mekanisme semak dan imbang sedia ada.

Malah, pemimpin PAS itu mendakwa sistem pelantikan sedia ada adalah lebih selamat kerana ia tertakluk di bawah kawalan Kabinet dan Parlimen bagi menjamin kepentingan nasional, bukannya politik lokal yang sempit.

Selain isu perlembagaan Azmer Syazwan turut membangkitkan kebimbangan mengenai demografi kaum dan jurang ekonomi di ibu kota, khususnya membabitkan peminggiran sistemik warga Program Perumahan Rakyat (PPR).

Katanya, tanpa jaminan struktur yang jelas, proses pilihan raya tersebut hanya akan memihak kepada pengundi berpendapatan tinggi dan pemilik hartanah, sekali gus meminggirkan kelompok rentan.

"Komuniti Melayu bandar, penduduk PPR, dan kelompok rentan akan terpinggir secara sistemik dalam proses pemilihan Datuk Bandar.

“Ini bertentangan dengan prinsip keadilan Islam dan Maqasid Syariah," katanya.

Sebagai alternatif, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak kerajaan agar: melaksanakan tiga perkara berikut:

  • Memperkukuh Majlis Penasihat DBKL dengan kuasa semak imbang yang sebenar.

  • Melibatkan wakil komuniti PPR dan NGO dalam struktur perancangan bandar.

  • Mengaudit Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 sebelum mencadangkan sebarang perubahan drastik.

"Jangan menggadaikan kestabilan bandar demi tuntutan ideologi tertentu,"katanya.

Semalam, beberapa ahli politik Melayu, termasuk Umno turut menyuarakan bantahan mereka dengan kebanyakan mereka lebih bertumpu kepada sentimen Melayu, berbanding merit pelaksanaan pilihan raya tersebut.

Yeoh semalam mempertahankan “kajian”, susulan bantahan yang disuarakan terhadap kajian kebolehlaksanaan mengadakan pilihan raya datuk bandar bagi Kuala Lumpur.

Dia menegaskan data serta fakta yang tepat diperlukan bagi mencapai keputusan yang meyakinkan dan menekankan bahawa “jangan sesekali takut dengan kajian”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS