story images
story images
mk-logo
Berita
Apa nasib penduduk di kawasan pertikaian sempadan Malaysia-Indonesia?

Meskipun kerajaan telah memberi penjelasan mengenai isu sempadan Malaysia-Indonesia di Selatan Sabah dan Kalimantan Utara, persoalan mengenai nasib penduduk dan harta benda mereka di kawasan yang terlibat terus berlegar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa daripada 5,987 hektar tanah yang dipertikaikan dan dirundingkan di sempadan barat daya Sabah, 780 hektar daripadanya dijangka berada di bawah bidang kuasa Malaysia.

Kawasan ini diklasifikasikan sebagai OBP (Outstanding Border Problem atau pertikaian sempadan yang belum selesai) Sungai Sinapad-Sungai Sesai.

Sementara itu, di OBP Pulau Sebatik, yang terletak di luar pantai Tawau, sempadan semasa membahagikan pulau itu hampir separuh di mana bahagian utara terletak di Malaysia, manakala separuh lagi di Indonesia.

Menurut dokumen yang disediakan oleh Jabatan Perdana Menteri, sempadan baru Pulau Sebatik akan beranjak sedikit ke selatan selepas rundingan selesai.

Sempadan baru pulau itu akan menempatkan 123 hektar tanah yang dipertikaikan ke dalam wilayah Indonesia, manakala lima hektar akan berada di bawah penguasaan Malaysia.

Selepas mendengar taklimat tersebut, bekas menteri luar Saifuddin Abdullah mempersoalkan mengapa tiada butiran diberikan mengenai penduduk di kedua-dua belah pihak yang akan terkesan oleh rundingan tersebut.

“(Perdana Menteri) sepatutnya menyatakan berapa ramai orang yang terkesan dengan perjanjian ini dan bagaimana kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan isu mereka, (menyediakan) remedi dan yang lebih penting lagi perkara kewarganegaraan,” kata Saifuddin kepada Malaysiakini.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu, beberapa bahagian tiga kampung yang pernah menjadi sebahagian daripada Indonesia - Kabulangor, Lepaga dan Tetagas di OBP Sungai Sinapad-Sungai Sesai - akan menjadi sebahagian daripada wilayah Malaysia.

Pada 28 Januari, sebuah media Sabah memetik Ahli Parlimen Kalabakan Andi Muhammad Suryady Bandy, yang kawasannya termasuk Pulau Sebatik, sebagai berkata bahawa adalah dicadangkan agar penduduk yang terjejas akan mempunyai pilihan untuk memohon kewarganegaraan sama ada di Malaysia atau Indonesia.

Walau bagaimanapun, seorang pegawai Indonesia, Irwan Sabri dari Kabupaten Nunukan di Kalimantan Utara memberitahu Malaysiakini bahawa ia bukan sedemikian.

“Kampung-kampung yang dilaporkan sebagai ‘menjadi sebahagian daripada Malaysia’ kekal sebagai sebahagian daripada Kabupaten Nunukan dalam Republik Indonesia, dan penduduknya kekal sebagai warganegara Indonesia, walaupun sebahagian kecil kawasan tanah kini secara sahnya menjadi sebahagian daripada Malaysia,” kata Irwan, yang merupakan ketua daerah tersebut.

Kerajaan Malaysia mahupun pegawai Indonesia tidak mendedahkan jumlah penduduk yang dijangka terjejas sebaik sahaja sempadan baru ditetapkan.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar untuk mendapatkan maklumat tentang penduduk dan penempatan yang terjejas tetapi belum menerima maklum balas.

Apabila ditanya sama ada mereka yang terjejas akan menerima pampasan, Irwan berkata:

“Memandangkan sempadan kini telah dimuktamadkan secara sah oleh kedua-dua negara, pelarasan akan menyusul.

“Kedua-dua kerajaan wilayah dan pusat akan memberi tumpuan pembangunan yang lebih besar pada segmen sempadan ini.

“Pada masa ini, kerajaan pusat di Jakarta sedang merangka dasar khas untuk meningkatkan pembangunan dan kebajikan masyarakat tempatan di kawasan tersebut.

Dalam ucapan parlimennya, Anwar mendedahkan bahawa dua kawasan yang dirundingkan, OBP Sungai Sinapad-Sungai Sesai dan OBP Pulau Sebatik sebelum ini bukan milik mana-mana negara dan sempadan kawasan berkenaan belum dimuktamadkan.

Dia menambah bahawa kawasan itu sememangnya berada dalam pentadbiran Indonesia berdasarkan peta 1915 yang dilampirkan pada perjanjian sempadan antara kerajaan penjajah British dan Belanda pada masa itu.

Walau bagaimanapun, sejak Merdeka, Malaysia tidak bersetuju dengan tuntutan tersebut kerana peta itu belum dimuktamadkan, kata Anwar.

"Kawasan yang daripada awal hak Indonesia, tetapi oleh kerana peta itu belum dimuktamadkan, kita tidak bersetuju. Tapi selama ini sejak 1915, itu tidak dipertikai oleh semua kerajaan Inggeris dan kerajaan Malaysia.

"Ini yang dikatakan, walaupun pada faktanya tidak dimuktamadkan kerana perjanjian itu tidak ditandatangani, ia menjadi milik dan di bawah pengelolaan kerajaan Indonesia," katanya pada sesi penerangan khas berhubung isu penjajaran sempadan Malaysia-Indonesia di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut ucapan Anwar, Saifuddin berkata kekeliruan mengenai rundingan sempadan sepatutnya dapat ditangani dengan lebih baik oleh kerajaan Malaysia.

Katanya, ini memandangkan apabila berita mengenai isu itu tersebar di media Indonesia, yang membawa kepada dakwaan Malaysia telah menyerahkan tanah kepada jirannya, sekali gus mencetuskan tuduhan bahawa pentadbiran Madani telah menggagalkan rundingan tersebut.

“Kerajaan kita sepatutnya tahu sejak hari pertama lagi bahawa pihak Indonesia perlu melalui parlimennya dalam perjanjian seperti ini, dan perdebatan mereka akan diketahui oleh rakyat kita dan menimbulkan keresahan atau persoalan.

“Jadi kerajaan kita sepatutnya lebih proaktif dan menjelaskan lebih awal kepada orang ramai.

“Ini adalah mengenai pertikaian tanah, yang berkaitan dengan kedaulatan mutlak.

“Oleh itu, kita harus lebih berhati-hati dalam mengendalikan kandungan dan proses rundingan dan perjanjian tersebut,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS