Pada 22 Jan, media Indonesia melaporkan Malaysia telah “menyerahkan” 5,207 hektar tanah kepada Indonesia.
Kawasan itu lebih besar dari Putrajaya, berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.
Selepas lebih seminggu spekulasi berputar, Perdana Menteri Anwar Ibrahim tampil menjelaskan isu tersebut di parlimen.

Berikut empat perkara yang perlu diketahui pembaca mengenai perkara ini:
1) Malaysia dan Indonesia tidak ‘menyerahkan’ tanah kepada satu sama lain
Perdana menteri menjelaskan sempadan dan kawasan yang dipertikaikan di bahagian barat daya Sabah serta Pulau Sebatik di luar pesisir Tawau sebenarnya tidak dimiliki oleh mana-mana negara.
Oleh itu, adalah tidak tepat untuk menggambarkan hasil rundingan sebagai satu negara “menyerahkan tanah” ke negara lain, seperti yang didakwa, kata Anwar kepada parlimen dalam taklimat kementerian pada 4 Feb.
Kawasan sempadan itu diklasifikasikan sebagai Outstanding Border Problems (OBP) dan dinamakan Sungai Sinapad-Sungai Sesai OBP serta Pulau Sebatik OBP.
Ini walaupun Indonesia sudah mentadbir OBP Sungai Sinapad-Sungai Sesai, yang meliputi 5,987 hektar, di kawasan sepanjang sempadan barat daya Sabah.
Pemilikan akhir bagi setiap bahagian tanah itu menjadi subjek rundingan antara kedua-dua negara jiran ini sejak 47 tahun lalu dan sempadan muktamad hanya dipersetujui pegawai kedua-dua negara pada tahun lalu.
“Saya ingin menegaskan bahawa penentuan sempadan tidak bersandarkan pada prinsip pampasan atau timbal balik atau untung rugi sepertimana didakwa.
"Sebaliknya penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia adalah bersandarkan kepada konvensyen dan perjanjian seperti yang dijelaskan,” kata Anwar.

2) Sempadan semasa berdasarkan dua sungai dalam perjanjian era penjajah
Konvensyen 1891 dan perjanjian 1915 antara pihak berkuasa penjajah British yang mentadbir Sabah dan Belanda yang memerintah Kalimantan serta Indonesia telah menetapkan sempadan di kawasan Sungai Sinapad-Sungai Sesai.
Anwar menjelaskan prinsip yang digunakan berdasarkan lokasi muara dua sungai itu, dengan wilayah di utara muara berada di bawah British manakala kawasan di selatan berada di bawah kawalan Belanda.

Bagaimanapun, kerja penentuan sempadan antara dua negara pada 1977 mendapati muara sungai itu sebenarnya berada lebih ke utara berbanding peta 1915 dan sepatutnya berada dalam wilayah Malaysia, bukannya Indonesia.
Kawasan yang dipertikaikan ini kemudian dikenali sebagai Sinapad-Sungai Sesai OBP, dan rundingan dimulakan bagi menetapkan sempadan yang betul untuk bahagian Sabah dan Kalimantan Utara tersebut.

3) Rundingan saksikan Malaysia memperoleh 785 hektar
Rundingan mengambil masa 47 tahun dan akhirnya dimuktamadkan pada Februari tahun lalu dengan persetujuan mengenai pemilikan akhir kawasan yang dipertikaikan.
Diputuskan bahawa:
Malaysia akan memperoleh 5 hektar di Pulau Sebatik OBP dan 780 hektar di Sungai Sinapad-Sungai Sesai OBP.
Sebahagian kawasan tiga kampung – Kabulangor, Lepaga dan Tetagas – yang sebelum ini ditadbir Indonesia kini menjadi sebahagian wilayah Malaysia.
Sementara itu, Indonesia memperoleh 127 hektar di Pulau Sebatik OBP dan 5,207 hektar di Sungai Sinapad-Sungai Sesai OBP.

4) Sempadan Sarawak seterusnya
Rundingan masih berjalan berhubung sebahagian kawasan sempadan yang dipertikaikan antara Sarawak dan Kalimantan Barat, yang dianggarkan meliputi panjang keseluruhan 1,644.6 kilometer, kata Anwar.
