Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan takut, halang perhimpunan bantah rumah ibadat haram - Fadhli
Diterbitkan:  Feb 5, 2026 5:58 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

PAS menasihatkan supaya tidak perlu mana-mana pihak merasa takut dengan perhimpunan bagi membantah pembinaan rumah ibadat secara haram di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Ini di sebalik bantahan daripada sekutu parti itu dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata perhimpunan itu tidak perlu ditakuti atau dihalang daripada berlangsung.

Sebaliknya, kata ahli Parlimen Pasir Mas itu perhimpunan berkenaan digerakkan pendakwah bebas Zamri Vinoth yang bertujuan menjunjung penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

“Tidak perlu mana-mana pihak rasa takut.

“Ia berbeza dengan himpunan menuntut hak yang dilarang di dalam Perlembagaan. Contohnya Himpunan Pro LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender),” kata ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam satu hantaran di Facebook.

MIPP sebelum ini menggesa PAS dan Bersatu supaya memboikot perhimpunan tersebut, dengan presidennya, P Punithan, menulis surat kepada Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin bagi menggesa mereka menghalang ahli masing-masing daripada menyertai perhimpunan itu.

MIPP berkata tindakan itu sangat penting bagi mengekalkan kerjasama erat dalam PN selain menjamin keharmonian, keamanan, dan keselamatan negara.

Komponen PN itu turut menulis surat kepada Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, bagi memohon pihak polis menghalang perhimpunan tersebut daripada diteruskan.

Naib Presiden Gerakan, G Parameswaran, turut mengkritik protes berkenaan dengan menyatakan bahawa Akta Perhimpunan Aman tidak sepatutnya disalahgunakan untuk membenarkan provokasi kaum dan agama.

Dua hari lalu, Malaysiakini melaporkan satu gabungan NGO merancang untuk mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur Sabtu ini bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina secara haram.

Ketika dihubungi, Zamri mengesahkan perkara itu dan menyatakan bahawa protes aman tersebut akan diadakan di kawasan berhampiran kompleks membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur bermula jam 8 malam, melibatkan kira-kira 141 NGO.

"Objektif perhimpunan ini adalah untuk memastikan undang-undang dikuatkuasakan. Mereka yang melakukan jenayah menceroboh dan membina rumah anutan secara haram mesti didakwa mengikut peruntukan undang-undang.

"Himpunan ini dianjurkan kerana aktiviti sedemikian telah berlarutan selama bertahun-tahun. Jumlah rumah anutan haram semakin meningkat setiap tahun.

"Tetapi mereka yang terlibat tidak didakwa di mahkamah, sebaliknya diberikan pampasan dan tanah ganti.

"Tiada penghujungnya... Sampai bila? Golongan inilah yang sepatutnya membayar pampasan, bukan sebaliknya," katanya.

Beberapa laporan polis juga difahamkan telah dibuat berhubung perhimpunan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS