Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sampai bila nak ganti tanah?' – 141 NGO bantah rumah ibadat haram
Diterbitkan:  Feb 3, 2026 1:49 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Satu gabungan NGO merancang untuk mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur Sabtu ini bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina secara haram.

Malaysiakini difahamkan bahawa satu notis telah diserahkan kepada pihak polis Dang Wangi hari ini oleh pendakwah, Zamri Vinoth, yang bertindak sebagai penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram, bagi memaklumkan mengenai rancangan demonstrasi tersebut.

Ketika dihubungi, Zamri mengesahkan perkara itu dan menyatakan bahawa protes aman tersebut akan diadakan di kawasan berhampiran kompleks membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur bermula jam 8 malam, melibatkan kira-kira 141 NGO.

"Objektif perhimpunan ini adalah untuk memastikan undang-undang dikuatkuasakan. Mereka yang melakukan jenayah menceroboh dan membina rumah anutan secara haram mesti didakwa mengikut peruntukan undang-undang.

"Himpunan ini dianjurkan kerana aktiviti sedemikian telah berlarutan selama bertahun-tahun. Jumlah rumah anutan haram semakin meningkat setiap tahun.

"Tetapi mereka yang terlibat tidak didakwa di mahkamah, sebaliknya diberikan pampasan dan tanah ganti.

"Tiada penghujungnya... Sampai bila? Golongan inilah yang sepatutnya membayar pampasan, bukan sebaliknya," katanya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan pihaknya telah menerima notis daripada penganjur.

Sazalee Adam

Sementara itu, Zamri turut ditanya jika perhimpunan tersebut dirancang supaya bertembung dengan lawatan Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang dijadualkan bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim hujung minggu ini.

Bagaimanapun, pendakwah itu menafikan ia mempunyai kaitan dengan acara diplomatik tersebut.

"Ini tiada kaitan dengan perhimpunan tersebut. Tarikh itu hanya satu kebetulan, dan perhimpunan kami dirancang pada jam 8 malam di hadapan Sogo," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS