Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Siapa bodoh, siapa bohong’ - Puad gesa kembalikan akta antiberita palsu
Diterbitkan:  Feb 6, 2026 12:59 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi menggesa kerajaan agar menghidupkan semula Akta Anti Berita Palsu 2018 bagi mengekang penularan kenyataan tidak benar yang didakwanya kini mula mencemari integriti Parlimen.

Puad berkata, desakan itu susulan pertikaman lidah antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan ahli parlimen pembangkang baru-baru ini berhubung rundingan sempadan Malaysia-Indonesia di selatan Sabah dan utara Kalimantan.

Mohd Puad Zarkashi

Dia mendakwa, ruang perbahasan di Dewan Rakyat kini seolah-olah dijadikan medan untuk menyebarkan "kenyataan bodoh dan bohong" sehingga menjatuhkan kredibiliti institusi tersebut.

"Kalau betul dakwaan pembangkang itu adalah palsu, bermakna Parlimen menjadi pusat penyebaran berita palsu.

“Integriti Parlimen jatuh. Trust deficit (defisit kepercayaan) berlaku terhadap Parlimen," katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Semalam, beberapa ahli parlimen pembangkang menggesa Dewan Rakyat untuk membahaskan isu-isu berkaitan rundingan sempadan Malaysia-Indonesia di selatan Sabah dan utara Kalimantan.

Cabar buka perbahasan

Ia susulan rasa tidak puas hati mereka dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu yang melabelkan pembangkang sebagai "bodoh" kerana didakwa terlepas pandang fakta tentang pertikaian sempadan Malaysia-Indonesia di kawasan berkenaan.

"Kita tak dibenarkan berbahas tapi kita dikatakan bodoh. Nak tau siapa bodoh siapa tak bodoh buka perbahasan," kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee pula berkata penolakan untuk membenarkan perbahasan atau mencelah di parlimen mnafikan peluang ahli parlimen pembangkang untuk menjelaskan perkara-perkara yang belum selesai, termasuk kelulusan berkaitan di peringkat Dewan Undangan Negeri.

“Kerajaan nampaknya sangat defensif dalam isu ini. Saya fikir perkara-perkara ini memerlukan forum untuk perdebatan,” kata ahli Parlimen Beluran itu.

Pengkhianat negara

Anwar, yang berucap semasa program bersama pelajar di sebuah universiti swasta Rabu lalu melabelkan pembangkang sebagai "bodoh" dan "malas membaca" kerana menganggap mereka tidak mengendahkan fakta di sebalik isu sempadan Malaysia-Indonesia di Pulau Sebatik.

Menurut Anwar, pembangkang menuduhnya melakukan pengkhianatan kepada negara selepas laporan berita mendakwa Malaysia menyerahkan beribu-ribu hektar tanah sebagai pertukaran untuk tiga kampung di sepanjang sempadan Sabah-Kalimantan.

Mengulas perkara itu, Puad menyifatkan tindakan membatalkan Akta Anti Berita Palsu 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan 1.0 pada 2019 — kononnya atas dasar kebebasan bersuara — kini memakan diri apabila ia disalah guna untuk tujuan politik sempit.

Selain penguatkuasaan undang-undang, Puad yang juga adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor turut mencadangkan agar satu "kod etika" (code of conduct) khusus diwujudkan segera untuk semua ahli parlimen.

Sekat kebebasan bersuara

Langkah itu katanya, penting bagi memastikan wakil rakyat tidak menyebarkan berita palsu mahupun ucapan kebencian semasa sesi perbahasan berlangsung.

"Amat wajar diwujudkan code of conduct khusus supaya ahli parlimen tidak menyebar berita palsu dan ucapan kebencian.

“Mereka sepatutnya menjadi role model bagi komunikasi yang bertanggungjawab," tegasnya lagi.

Akta Anti Berita Palsu 2018 sebelum ini diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Najib Razak, namun dimansuhkan selepas pertukaran kerajaan pada PRU14 kerana dianggap sebagai alat untuk menyekat kebebasan bersuara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS