Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM selar pembangkang: Panggil bodoh dia marah...

Perdana Menteri hari ini melabelkan pembangkang sebagai "bodoh" dan "malas membaca" kerana menganggap mereka tidak mengendahkan fakta di sebalik isu sempadan Malaysia-Indonesia di Pulau Sebatik.

Bercakap di majlis dialog awam dengan pelajar sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur, Anwar Ibrahim berterus terang ketika menyentuh isu tersebut yang juga menjadi perdebatan panas di Dewan Rakyat pagi tadi.

Menurut Anwar, pembangkang menuduhnya melakukan pengkhianatan kepada negara selepas laporan berita mendakwa Malaysia menyerahkan beribu-ribu hektar tanah sebagai pertukaran untuk tiga kampung di sepanjang sempadan Sabah-Kalimantan.

Katanya kerajaan perlu bertindak berani demi membuat keputusan yang betul demi negara walaupun ia mungkin tidak popular kepada orang ramai.

Justeru, kata Anwar, kerajaan dihina, dibenci dan dicaci.

"Tengok macam perdebatan di parlimen pagi ini, isunya ialah sempadan di perbatasan Sabah dan Sarawak, tetapi yang disebutnya (oleh pembangkang) ialah PM khianat, jual negara.

"Fakta belum tau, membaca malas, mengkaji tak mau. (Kalau) panggil bodoh dia marah," katanya.

Apa yang berlaku, tambah Anwar, tiada perdebatan yang bermakna, membina atau berpaksikan kebenaran berlangsung di Dewan Rakyat.

Orang pintar yang mencuri

Pada masa sama Anwar menegaskan, kerajaan boleh memilih untuk berseteru dengan Indonesia namun Putrajaya memilih untuk menggunakan jalan damai tanpa berkompromi terhadap hak negara.

"Kita juga tahu kalau kita mahu Indonesia menghormati hak dan kedaulatan kita, kita juga harus hormat hak dan kedaulatan mereka," katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian semasa program Temu Anwar di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).

Kenyataan itu merujuk kepada perbalahan hangat di antara Anwar dengan beberapa ahli parlimen pembangkang semasa dia memberikan taklimat mengenai isu tanah.

Dalam penjelasannya, perdana menteri menjelaskan bahawa tanah seluas 5,207 hektar yang dituntut oleh Indonesia baru-baru ini sebelum ini bukanlah sebahagian daripada Malaysia.

Anwar mengadakan sesi taklimat itu selepas didesak oleh pembangkang untuk menangani kebimbangan mengenai tindakan mereka yang dikatakan menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga buah kampung di kawasan Nunukan.

Pada majlis sama - yang dihadiri lebih 1,000 pelajar TAR UMT - Anwar memberikan ucapan panjang lebar tentang kepentingan keseimbangan antara mengejar kecemerlangan dan moral.

Walaupun pengetahuan dan kemahiran penting bagi manusia, katanya, setiap orang penting mempunyai sifat kemanusiaan.

Katanya, semua orang perlu menguasai ilmu namun sama sekali tidak boleh menghilangkan nilai kemanusiaan.

Dia juga mengingatkan bahawa ramai orang yang memiliki kelulusan sehingga ke peringkat doktor falsafah namun tetap tergamak mencuri.

"Yang mencuri berbilion-bilion ni, kamu ingat orang bodohkah? Tidak! Yang mencuri itu semua oran pintar.

"Tetapi apa yang kurangnya? Dia pintar dalam bidang khusus tetapi hilang nilai kemanusiaan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS