Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sikap sangat buruk - Fahmi selar Takiyuddin perlekeh UIAM

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyelar Ketua Whip Perikatan Nasonal (PN) Takiyuddin Hassan kerana mempersoalkan kewibawaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya datuk bandar di Kuala Lumpur.

Fahmi mendakwa Takiyuddin seolah-olah memandang rendah terhadap UIAM, walaupun universiti itu telah melahirkan ramai pemimpin di dalam negara dan juga di luar negara.

“Jadi sikap ahli politik ini, setiausaha agung sebuah parti yang mempunyai calon berlori-lori untuk calon perdana menteri, tapi dia boleh ada sikap seperti ini. bagi saya, itu satu sikap yang sangat buruk.,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya, petang tadi.

Fahmi Fadzil

Kenyataan itu merupakan sindiran terhadap PAS yang sehingga hari ini masih belum mengisytiharkan calon perdana menteri bagi pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Takiyuddin mempersoalkan mengapa UIAM dipilih berbanding "universiti senior" lain, seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Ada universiti yang lebih senior di negara kita, UM (Universiti Malaya), UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan semua itu, atau gabungan beberapa universiti.

“Jangan ketepikan UiTM juga, ia sebuah universiti yang sangat senior.

"Kenapa UIAM? Ini kami tidak mahu sebutlah, ada benda-benda yang kita tahu di belakang sana. Ia cukup baik tetapi kami mahu tahu kenapa pilih UIAM?” katanya pada sidang media di Parlimen, semalam.

Takiyuddin Hassan

Mengulas lanjut, Fahmi berkata tiada apa yang perlu diputuskan buat masa ini memandangkan kajian tersebut masih belum disiapkan.

Tambahnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh hanya memberikan makluman lisan mengenai kajian itu kepada kabinet, bukannya satu pembentangan rasmi.

“Jadi terlalu awal untuk kita bincang perkara ini. Tidak ada apaapa yan dibentangkan kepada jemaah menteri, cuma pemakluman lisan,” katanya.

Pada Selasa lalu, Yeoh berkata hasil dapatan UIAM akan dibawa ke kabinet sebaik sahaja kajian itu selesai.

“Jangan takut, kajian ini dilakukan oleh UIAM. Ia adalah universiti yang bereputasi tinggi.

“Jadi kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP,” katanya.

Hannah Yeoh

Pada Ahad, 1 Februari lalu, Yeoh memaklumkan telah mengarahkan pejabatnya untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar di KL, kerana ia dianggap lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis melalui pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Isu pilihan raya PBT, terutamanya di ibu kota, sekian lama menjadi topik yang mencetuskan perbalahan.

Pada masa ini, Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada di bawah kawalan persekutuan, dengan bandar raya itu ditadbir oleh datuk bandar yang dilantik oleh kerajaan.

Pihak pengkritik berhujah bahawa struktur ini menumpukan kuasa di tangan datuk bandar, dengan semak dan imbang yang terhad berbanding majlis tempatan yang lain.

Bagaimanapun, parti-parti politik sayap kanan Melayu sekian lama menentang pilihan raya PBT dengan mendakwa ia akan menghakis kuasa Melayu di kawasan bandar yang majoritinya dihuni oleh kaum bukan Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS