Lembaga disiplin Bersatu akan memanggil sekurang-kurangnya dua lagi pemimpin bahagian pada 12 Feb ini, susulan aduan berkaitan dakwaan hubungan mereka dengan kenyataan yang mencemarkan reputasi parti.
Dua pemimpin berkenaan ialah Ketua Bersatu Dungun Abdul Aziz Ismail dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Shafiq Abdul Halim, menurut notis lembaga disiplin yang bocor kepada media.
Notis kepada Abdul Aziz dibuat berdasarkan aduan bertarikh 27 Okt dan 28 Okt tahun lalu yang mendakwa dia terlibat dalam jelajah diketuai bekas ahli majlis tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan di Melaka.
“Responden didakwa telah hadir dan membuat ucapan dalam acara Jelajah Semarak Bersatu yang dianjurkan untuk membantah keputusan-keputusan Lembaga Disiplin.

"Dalam acara yang sama, pelbagai tohmahan dan kenyataan yang berbentuk serangan terhadap pemimpin-pemimpin parti telah dibuat secara terbuka,” menurut notis yang ditandatangani pengerusi lembaga disiplin Bersatu Mohd Radzi Manan.
Sementara itu, Shafiq dipanggil bagi menghadapi dakwaan susulan empat aduan berasingan yang difailkan pada 15 Okt dan 16 Okt tahun lalu, serta pada 31 Jan dan 3 Feb.
Dalam aduan pertama, dia dituduh menyerang ketua penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz secara terbuka dalam sesi media sosial secara langsung ketika mengulas tindakan disiplin sebelum ini.
Wan Saiful dipecat daripada Bersatu pada 14 Okt tahun lalu bersama empat lagi ketua bahagian manakala Wan Ahmad Fayhsal dikenakan penggantungan selama enam tahun.

Aduan keempat terhadap Shafiq pula menyatakan:
“Responden didakwa telah membuat konten media sosial memburukkan parti.
"Responden didakwa menjadi dalang merosakkan imej parti di saluran media utama dan selalu bersiaran langsung di TikTok menghina parti dan pimpinan."
Sementara itu, FMT melaporkan bahawa tiga ketua bahagian lain juga dipanggil menghadap lembaga disiplin pada 12 Februari - Ahmad Nasir Mid (Selayang), Zulkifli Bujang (Johor Bahru), dan Ramlan Meon (Tangga Batu), masing-masing dikaitkan dengan insiden berasingan pada 2025.
Menurut laporan itu, Ahmad Nasir menghadapi dua aduan, termasuk secara terbuka meminta peletakan jawatan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan menyokong Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin sebagai penggantinya.
Sementara itu, Zulkifli, bekas pembantu Hamzah, didakwa telah mengarahkan perwakilan bahagian Johor Bahru melalui WhatsApp untuk memboikot ucapan penggulungan Muhyiddin semasa perhimpunan agung parti itu pada 2025.
Terdahulu hari ini, dua ahli majlis tertinggi Bersatu — ketua Bersatu Kuala Selangor Harrison Hassan dan ketua Bersatu Kuala Langat Rosnizan Ahmad — secara berasingan menggesa lembaga disiplin parti menyiasat dakwaan terhadap Hamzah yang dituduh menyokong tindakan mengkritik Muhyiddin.

Kenyataan yang menyasarkan Hamzah itu muncul di tengah-tengah spekulasi usaha dalaman baru untuk mendesak pemecatan ahli parlimen Larut berkenaan melalui satu “petisyen” yang didakwa diedarkan dalam kalangan wakil rakyat dan ketua bahagian parti.
Sumber rapat dengan ketua pembangkang itu mendakwa usaha mengumpul sokongan terhadap tindakan ke atas Hamzah — yang kini berada di luar negara — akan dimuktamadkan dalam satu pertemuan di rumah Muhyiddin pada malam esok.
Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan Muhyiddin menolak dakwaan mengenai petisyen tersebut, dengan seorang sumber menegaskan pertemuan itu merupakan acara tahunan menjelang Ramadan.
Malaysiakini turut melihat salinan jemputan yang ditandatangani Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali dan dihantar kepada semua senator serta wakil rakyat parti itu, dengan peringatan bahawa mereka mempunyai “tanggungjawab untuk hadir dan mendengar ucapan Muhyiddin mengenai masa depan dan pelan strategik Bersatu”.
