Dua Ahli Parlimen Bersatu menafikan dakwaan yang mengaitkan ketua pembangkang Hamzah Zainudin dengan plot untuk keluar dari Perikatan Nasional (PN) bersama 15 ahli parlimen lain.
Ketika ditemui di Parlimen, Ahli Parlimen Mersing Islahuddin Abas (gambar kanan) dan Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor menafikan laporan itu, yang memetik sumber kanan Bersatu.
Dalam mempertikaikan dakwaan tersebut, Islahuddin berhujah bahawa plot seperti yang didakwa itu tidak dapat dilaksanakan dengan penguatkuasaan undang-undang antilompat parti.
"Saya rasa kalau bawa (ahli parlimen) keluar (PM) melampau sangat kot? Nak bawak keluar maksud apa? Kan dah ada akta antilompat pati. Mana boleh bawa keluar Bersatu,” katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, portal dalam talian MalaysiaGazette memetik sumber kanan parti yang mendakwa bahawa Ahli Parlimen Larut itu sedang mengetuai gerakan keluar dari Bersatu dan mungkin akan menyertai parti lain tidak lama lagi.
“Kamu tunggu dalam masa terdekat ini. Parti yang bakal disertai itu juga difahamkan akan memberikan jawatan tertinggi kepada Hamzah.
“Ada juga desas-desus mengatakan mereka mungkin menyertai Pakatan Harapan (PH). Kita tunggu dan lihat,” kata sumber seperti dilapor.
Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata parti itu terbuka untuk menerima mana-mana bekas ahli, termasuk Hamzah, sebagai sebahagian daripada “Rumah Bangsa” yang dilancarkan semasa Perhimpunan Agung Umno yang lalu.

Sebelum menyertai Bersatu, Hamzah adalah antara ahli parlimen Umno yang mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Zahid dan keluar dari parti itu pada 14 Dis 2018.
Laporan yang mengaitka Hamzah dengan plot keluar parti itu hadir susulan pertelingkahan dalam Bersatu dengan seruan terbuka naib presiden parti, Ronald Kiandee, untuk peletakan jawatan presiden parti, Muhyiddin Yassin, manakala Hamzah, timbalan presiden Bersatu, menghadapi tekanan yang sama daripada penyokong Ahli Parlimen Pagoh itu.
Lembaga Disiplin Bersatu buat kali kedua telah memanggil Hamzah, yang berada di luar negara, untuk menghadiri pendengaran yang dijadualkan esok, berdasarkan empat aduan berasingan - tiga bertarikh 5 Februari dan satu lagi bertarikh 30 September tahun lepas.
Sementara itu, Islahuddin juga menolak persepsi bahawa dia tidak hadir ke rumah Muhyiddin pada malam Ahad kerana bersekutu dengan Hamzah.
“Terpulang kepada orang ramai untuk mentafsir, tetapi saya ada program di Mersing,” tambahnya.
Secara berasingan, Khlir, yang juga tidak hadir ke rumah Muhyiddin, menolak laporan itu sebagai “berita palsu”.
"Tak adalah. Hamzah bukan jenis macam tu. Tak ada. Berita palsu. Yang buat tu puak-puak bengong," kata Khlir.
Walau bagaimanapun, Khlir berkata Ronald berhak mempunyai pandangannya terhadap Muhyiddin.
"Itu pendapat dia. Kita hormat pendapat dia. Kalau kawe (saya) cakap apa pun kena hormat pendapat kawe. Tapi orang kata Hamzah begitu begini, dia bukan begitu. Hamzah bukan jenis heret orang (keluar dari parti),” tegasnya.
Mengenai pendirian peribadinya, Khlir menegaskan fokus utamanya hanyalah untuk berkhidmat kepada pengundinya di Ketereh, serta membangkitkan isu-isu yang melibatkan veteran tentera.
"Saya pula tak ikut mana-mana. Orang ajak pergi rumah (Muhyiddin) saya tak pergi. Buat apa nak pergi? Saya balik jaga rakyat dekat Ketereh,” katanya.
Diminta komen mengenai persepsi bahawa ahli parlimen Bersatu yang tidak hadir pada perhimpunan malam Ahad itu sehaluan dengan Hamzah, Khlir berkata, “Biar lah orang kata. Asalkan kita tidak.”
Dalam hal berkaitan, Islahuddin hari ini berkata dia akur dengan kenyataan Ketua Bersatu Johor, Dr Sahruddin Jamal yang melaporkan bahawa cawangan negeri itu kekal menyokong Muhyiddin untuk memimpin Bersatu.
“Saya mengikuti jawapan yang diberikan oleh Badan Perhubungan Negeri (Sahruddin),” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan semasa dalam Bersatu Johor.
Semalam, 14 bahagian Bersatu Johor, dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ketua Bersatu Tanjung Piai, Musa Khamis, mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap Muhyiddin.
Kumpulan itu sebelum ini menuntut Muhyiddin memecat Sahruddin sebagai Ketua Bersatu Johor.
Sahruddin, yang merupakan bekas menteri besar Johor meletak jawatan sebagai Ketua PN Johor susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari.
Malaysiakini difahamkan bahawa mesyuarat kepimpinan Bersatu Johor yang terakhir, yang dipengerusikan oleh Sahruddin, gagal memenuhi korum yang diperlukan, dengan hanya 14 daripada 35 ahli yang hadir.
