Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wan Fayhsal tarik balik rayuan penggantungan dari Bersatu
Diterbitkan:  Feb 18, 2026 12:11 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menarik balik rayuan yang dikemukakan kepada lembaga rayuan Bersatu berhubung penggantungannya daripada Bersatu.

Dalam hantaran di Facebook, Wan Ahmad Fayhsal berkata dia mengemukakan perkara itu menerusi surat bertarikh 16 Februari kepada pengerusi lembaga rayuan parti, Azhar Azizan Harun.

Dalam surat itu, dia yang merupakan bekas ketua Pemuda Bersatu antara lain berkata keputusannya untuk menarik balik rayuan adalah kerana tidak lagi yakin dengan hala tuju Bersatu.

“Pihak saya tidak lagi berminat untuk meneruskan rayuan terhadap notis penggantungan tersebut atas sebab hilangnya kepercayaan saya kepada matlamat perjuangan Bersatu dan kelemahan Bersatu dalam mengamalkan amalan urus tadbir yang baik dan adil,” katanya.

Katanya lagi, dia juga telah dipecat daripada Bersatu bersama-sama 16 pemimpin lain termasuk Hamzah Zainudin, satu langkah yang disifatkannya sebagai penyingkiran beramai-ramai oleh pihak yang “tergugat” dengan keberadaan mereka dalam parti.

"Terima kasih kepada lembaga rayuan Bersatu kerana telah menjalankan amanah dengan penuh tertib dan profesional. 

"Bagaimanapun saya seperti mana sekian ramai bekas pimpinan yang telah dipecat baru-baru ini tidak akan sama sekali membuat rayuan baru, malah menarik rayuan lama daripada dipertimbangkan semula," katanya.

Ia menyusuli Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan yang menarik balik rayuan pemecatannya daripada Bersatu dua hari lalu.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal digantung dan Wan Saiful dipecat daripada Bersatu selepas didapati bersalah melanggar perlembagaan serta kod etika parti.

Wan Ahmad Fayhsal kemudian dipecat bersama-sama 16 pemimpin parti lain, termasuk bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS