Bersatu menafikan dakwaan ada beberapa bahagian parti itu terbubar susulan peletakan jawatan ahli jawatankuasanya.
Setiausaha Agung Bersatu Mohamed Azmin Ali menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, serta bercanggah dengan peraturan dan perlembagaan parti.
Dalam kenyataan hari ini, Azmin merujuk kenyataan dan pautan media sosial yang mendakwa Bersatu Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong telah dibubarkan.
"Perlembagaan parti tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli parti, termasuk ketua bahagian, untuk membubarkan bahagian.
"Ini adalah tindakan terdesak segelintir individu yang berniat jahat untuk merosakkan imej dan maruah parti serta menggugat kestabilan parti," katanya.
Tiga hari lalu, Timbalan Ketua Bersatu Larut Mohd Noh Md Daud memaklumkan Bersatu Larut terbubar susulan peletakan ahli jawatankuasanya.
"Sebanyak 48 cawangan di bawah Bersatu Larut mengisytiharkan pembubaran bahagian itu kerana hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti yang diterajui Muhyiddin.
“Keputusan ini turut diperkuat dengan pemecatan Hamzah Zainudin dan Ketua Bersatu Larut Mohd Hassundi Hamzah,” katanya dalam satu rakaman video.
Sementara itu, dalam siaran berasingan, Ketua Bersatu Lembah Pantai Muqharabbin Mokhtarrudin berkata keputusan untuk membubarkan bahagian itu dibuat tanpa sebarang paksaan dan surat makluman mengenainya akan dihantar ke ibu pejabat Bersatu.
Hari ini, Azmin berkata mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 14 Feb lalu telah mengambil langkah proaktif dengan memberi mandat kepada kepimpinan Bersatu negeri untuk memantau setiap bahagian dan mengenal pasti langkah-langkah drastik untuk memulihkan bahagian yang bermasalah.
"Saya ingin mengesahkan bahawa Bersatu Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong masih wujud mengikut Perlembagaan Bersatu dan MPT akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan peruntukan perlembagaan sedia ada," katanya.
Kemelut dalaman Bersatu mencapai kemuncak dengan pemecatan Hamzah selaku timbalan presiden dan 16 lagi pemimpin parti.
Turut dipecat ialah ahli MPT yang juga Anggota Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Anggota Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob, dan Anggota Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.
Dua Adun yang dipecat ialah Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik, Perak) dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban, Melaka), yang juga ketua pembangkang negeri itu.
Selain itu, sembilan ketua bahagian Bersatu yang dipecat ialah Mohd Hassuandi Hamzah (Larut); Yunus Nurdin (Libaran); Abdul Aziz Ismail (Dungun); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan); Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) serta Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah).
Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah Nabila Norsahar, dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Mohamad Shafiq Abdul Halim.
