Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan SPRM: Malangnya Anwar kini benarkan penyokong jaja fitnah, kata Rafizi
Diterbitkan:  Feb 19, 2026 9:24 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mengkritik dua siasatan SPRM berkaitan dakwaan salah laku kewangan ketika dia masih dalam kabinet, dan menuduh pihak di belakang dakwaan itu sebagai fitnah.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook hari ini, Rafizi juga mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim membiarkan fitnah itu “dijaja oleh penyokong-penyokongnya”.

Dia menggariskan dua siasatan yang dibuat SPRM terhadap dirinya. Siasatan pertama melibatkan urus niaga kerajaan dengan syarikat semikonduktor British, Arm Holdings, di mana dia dituduh mempercepat satu perjanjian yang dikatakan melibatkan RM1.1 bilion.

Dakwaan kedua membabitkan satu projek tenaga solar berskala besar oleh UEM Lestra, di mana dia didakwa mengarahkan kontrak bernilai RM2.5 bilion kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengannya.

Dalam hantaran itu, Rafizi mendakwa pempengaruh Ariz Ramli (Caprice) sebagai individu yang menyebarkan naratif tersebut, yang disifatkannya sebagai fitnah.

Caprice

“Ini jadi satu lagi bahan fitnah yang dijaja oleh Caprice dan diulang oleh ceplos-ceplos, konon ‘Rafizi terbabit kes rasuah RM2.5 billion’. Semua ini timbul secara tiba-tiba dalam tempoh tidak sampai seminggu. 

“Tidak seperti kes yang lain, SPRM tidak menunjukkan bukti. Tidak ada rampasan ratusan juta atau jongkong emas. Tidak ada bukti ratusan juta dalam akaun saya. 

Malah, satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita. Ini masalahnya apabila ada pihak yang terdesak menggunakan fitnah,” katanya lagi.

Bekas timbalan PKR itu juga secara sinis berkata dia kini didakwa terlibat dalam skandal yang bernilai lebih besar daripada yang melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Najib disabitkan bersalah bila ada RM2.3 bilion masuk akaun peribadi dari dana 1MDB. Saya kini dituduh terbabit kononnya dalam dua skandal kewangan yang jumlahnya RM3.6 bilion - fuyooooo lagi banyak dari Najib!

“Mereka yang membangunkan skrip fitnah ini tidak terfikir perkara ini tidak masuk akal.

Fitnah selalunya berakhir dengan overkill (melebih-lebih). Oleh kerana tiada cerita, maka cerita yang dibuat itu perlu diperbesar-besarkan supaya nampak teruk, lama-lama jadi overkill,” katanya.

Pada Selasa lalu, Bernama melaporkan SPRM telah membuka siasatan terhadap perjanjian RM1.1 bilion antara kerajaan dan sebuah syarikat asing.

Sumber tidak dinamakan dipetik berkata, siasatan dibuat susulan aduan yang dibuat beberapa NGO dan SPRM telah mengambil beberapa dokumen berkaitan daripada Kementerian Ekonomi untuk membantu siasatan.

‘Dulu turun bela Anwar’

Menepis dakwaan tersebut, Rafizi berkata dia dan rakan-rakan segenerasinya tidak asing lagi dengan taktik sedemikian, setelah melalui pengalaman sama ketika era Reformasi, di mana “fitnah menjadi overkill”.

“Tilam diusung untuk tunjuk air mani. Semua cerita lucah jadi bahan laporan setiap hari.

“Kami yang rakyat biasa turun membela Anwar yang jadi mangsa fitnah kerana sepak terajang kuasa.

“Malangnya, Anwar kini membenarkan fitnah yang overkill dijaja oleh penyokongnya setiap hari, kerana kali ini ia digunakan terhadap seorang yang dia sendiri mengaku dia menyampah,” dakwanya lagi.

Pada Selasa lalu, Rafizi dalam kenyataan berkata SPRM “tiba-tiba giat” menyiasat dakwaan salah laku semasa dia menjadi menteri ekonomi, melibatkan dua dasar nasional utama — Program Visi Silikon dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Rafizi ketika menjadi Menteri Ekonomi

Dia menyifatkan masa siasatan SPRM — iaitu selepas dia menggesa penggantungan ketua pesuruhjayanya, Azam Baki berhubung dakwaan yang dilaporkan oleh Bloomberg — membawa risiko salah guna kuasa.

Menurutnya, rundingan bagi kerjasama Visi Silikon dengan Arm melibatkan beberapa peringkat, daripada perbincangan antara pegawai kementerian dan Arm, kepada rundingan antara kementerian yang melibatkan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan, selain pertemuan antara Anwar dan CEO Arm Rene Haas serta pemilik SoftBank Masayoshi Son.

Dia berkata Kementerian Ekonomi ialah kementerian perancangan dan tidak mengurus perolehan atau kontrak.

“Kerjasama dengan Arm ini sebenarnya adalah di bawah Miti dan ditandatangani oleh Mida (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), sebuah agensi di bawah Miti,” katanya.

"Sebarang pembayaran diproses oleh Mida dan ditapis/diluluskan oleh MOF," katanya lagi, sambil menambah bahawa draf perjanjian itu telah disemak oleh Jabatan Peguam Negara sebelum kelulusan kabinet.

Berhubung NETR, Rafizi berkata pelan tersebut tidak membabitkan dana awam, perolehan atau pelaksanaan projek oleh Kementerian Ekonomi.

Satu dasar di bawah NETR, jelasnya, membenarkan pihak swasta membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui dan membekalkan kuasa hijau terus kepada industri tanpa melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Syarikat-syarikat termasuk UEM Lestra, anak syarikat UEM yang dimiliki oleh Khazanah, mengumumkan pelaburan tenaga boleh diperbaharui berskala besar.

Rafizi berkata UEM Lestra akan melabur RM2.5 bilion untuk membangunkan projek tenaga boleh baru dengan kapasiti puncak 750 MW di Segamat.

Rafizi berkata dia akan membentangkan maklumat lanjut dalam audio siarnya  minggu ini dan memberi ruang kepada Ariz untuk membuat permohonan maaf.

Jika tidak, dia berkata akan mengambil tindakan undang-undang.

Audio siar Rafizi dijadualkan disiarkan jam 10 malam esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS