Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tertinggi AS batalkan tarif 'timbal balas' Trump
Diterbitkan:  Feb 21, 2026 8:32 AM
Dikemaskini: 12:32 AM

GLOBAL | Mahkamah Agung AS membatalkan tarif “timbal balas” diperkenalkan Presiden Donald Trump sekali gus memberi tamparan besar kepada dasar ekonomi utama negara itu dan mungkin merumitkan hubungan Washington dengan seluruh dunia, lapor Kyodo News.

Mengekalkan keputusan mahkamah rendah, mahkamah tertinggi AS itu memutuskan Trump melangkaui kuasa presidennya apabila pada tahun lalu menggunakan undang-undang darurat era 1970-an untuk mengenakan tarif global secara meluas, selain duti berkaitan fentanyl yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.

Trump pula menyifatkan keputusan itu sebagai “amat mengecewakan” dan mendakwa ia “tidak tepat”.

“Saya malu dengan sesetengah hakim mahkamah itu, benar-benar malu, kerana tidak mempunyai keberanian untuk melakukan apa yang betul untuk negara kita,” katanya kepada pemberita.

Menurut Trump negara asing pasti “sangat gembira dan mereka menari di jalanan” namun menjangkakan “mereka tidak akan menari lama. Itu saya boleh jamin.”

Kata Trump, Washington mempunyai “alternatif yang sangat berkuasa” untuk langkah seterusnya.

Dia turut memaklumkan mahu menandatangani perintah bagi mengenakan tarif global baru sebanyak 10 peratus di bawah undang-undang lain.

Tahun lalu, dia menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa 1977 untuk melaksanakan tarif itu tanpa kelulusan Kongres walaupun percukaian merupakan kuasa yang diperuntukkan kepada cabang perundangan.

Tiada presiden lain

Semasa hujahan lisan pada awal Nov, majoriti daripada sembilan hakim mahkamah itu – enam daripadanya dilantik oleh presiden dari Parti Republikan – telah menunjukkan keraguan terhadap kuasa Trump memintas Kongres dalam mengenakan tarif dua digit itu.

Keputusan muktamad 6-3 itu dijangka memberi implikasi besar terhadap matlamat ekonomi dan dasar luar Trump, selain kepada kerajaan dan perniagaan di seluruh dunia.

Ketua hakim yang bersidang, John Roberts – dia dilantik oleh presiden terdahulu, George W Bush – berkata Trump tidak boleh mewajarkan tindakan luar biasanya secara sah.

“Presiden menuntut kuasa luar biasa untuk mengenakan tarif secara sepihak tanpa had dari segi kadar, tempoh dan skop. Berdasarkan keluasan, sejarah dan konteks perlembagaan kuasa yang dituntut itu, dia perlu mengenal pasti kebenaran jelas daripada Kongres untuk melaksanakannya,” tulis Roberts bagi pihak majoriti.

Tarif merupakan agenda teras America First Trump. Ahli politik Republikan itu berhujah tarif akan menghidupkan semula sektor pembuatan AS, mewujudkan pekerjaan, mengurangkan hutang negara, meningkatkan hasil cukai serta memperkukuh kedudukan rundingan mereka untuk mendapatkan konsesi dari negara lain.

Awal tahun lalu, pentadbiran Trump memperkenalkan tarif ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico dengan menuduh tiga rakan dagang utama AS terbabit gagal membendung kemasukan fentanyl yang membawa maut ke AS.

Pada April pula, Trump mengumumkan tarif “Hari Pembebasan” yang merangkumi tarif sejagat sebanyak 10 peratus, selain duti tambahan berbeza ke atas puluhan negara yang mencatatkan defisit perdagangan besar dengan AS.

Undang-undang darurat yang dikenali sebagai IEEPA itu memperuntukkan ia boleh digunakan “untuk menangani sebarang ancaman luar biasa dan luar jangka, yang berpunca secara keseluruhan atau sebahagian besarnya dari luar AS, terhadap keselamatan negara, dasar luar atau ekonomi.”

Sebelum ini tiada presiden menggunakan undang-undang berkenaan untuk mengenakan tarif.

Banyak syarikat AS dan asing memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump bagi mencabar kesahihan langkah berasaskan IEEPA itu dan memastikan mereka menerima bayaran balik sekiranya Mahkamah Agung membatalkannya.

Mahkamah Agung tidak menyatakan sama ada kerajaan AS perlu memulangkan hasil yang telah dikutip daripada cukai import itu.

Pegawai kanan pentadbiran Trump sebelum ini memberi bayangan bahawa mereka akan menggunakan peruntukan undang-undang alternatif untuk mengenakan semula tarif berkenaan sekiranya Mahkamah Agung memutuskan tidak memihak kepada presiden.

Pertikaian undang-undang berhubung tarif global itu – yang ang difailkan oleh perniagaan kecil dan belasan negeri di AS – tidak mempunyai kaitan dengan tarif sektor tertentu yang diperkenalkan pentadbiran Trump.

Tarif khusus sektor yang dikenakan atas alasan keselamatan negara sejak Trump kembali memegang jawatan pada Jan tahun lalu, seperti yang menyasarkan import kereta dan keluli, dibenarkan di bawah Seksyen 232 Akta Peluasan Perdagangan 1962.

Undang-undang itu mensyaratkan siasatan dibuat sebelum tarif boleh dikenakan.

- Bernama/Kyodo


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS