Ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki memfailkan saman fitnah terhadap Bloomberg dan cawangannya di Malaysia, Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd, berhubung artikelnya yang bertajuk “Malaysian Anti-Graft Chief Returns to Stocks After Outcry” yang diterbitkan pada 10 Feb lalu.
Menerusi saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Azam menuntut beberapa perintah mahkamah dan ganti rugi am sebanyak RM100 juta.
Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, Azam memohon perintah injunksi terhadap defendan bagi menghalang mereka daripada menerbitkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang serupa terhadapnya, serta untuk Bloomberg memadam artikel tersebut dalam tempoh tiga hari selepas penghakiman.
Dia juga menuntut defendan membuat permohonan maaf dalam bentuk yang dipersetujui oleh peguamnya dan diterbitkan di akhbar serta media sosial yang dipilihnya.
Selain itu, dia menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam dokumen itu, Azam berkata dia telah menghantar surat tuntutan kepada organisasi berita itu sebelum saman difailkan.
“Namun, defendan-defendan secara angkuh dan bongkaknya telah membalas dengan ‘we stand by our reporting’ apabila dihubungi oleh satu agensi media mengenai surat runtutan plaintif,” katanya.

Azam mendakwa artikel tersebut telah menjejaskan reputasinya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, dan tajuknya yang didakwa disediakan dengan niat jahat serta bersifat skandal (scandalous), sensasi, menjengkelkan dan menjelikkan.
Dia juga menyifatkan artikel itu boleh difahami sebagai menggambarkan dirinya sebagai penjawat awam yang tidak berintegriti, tidak boleh dipercayai, dan melanggar peraturan berkaitan perisytiharan harta.
“Artikel tersebut secara sindiran menggambarkan bahawa plaintif telah gagal mematuhi kewajiban pengisytiharan aset atau bertindak secara tidak telus.
“Ia mendedahkan plaintif dan juga SPRM kepada kebencian, kemarahan, penghinaan dan diremehkan oleh pihak awam.”
Bloomberg tak ambil kira penjelasan
Azam mendakwa Bloomberg tidak mengambil kira sepenuhnya penjelasan terperinci yang diberikannya semasa menjawab pertanyaan sebelum artikel diterbitkan.
“Defendan-defendan gagal mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mengesahkan ketepatan fakta sebelum penerbitan, termasuk kegagalan untuk menjalankan pengesahan lanjut, semakan silang sumber dan penilaian wajar terhadap maklumat yang diperolehi.
“Tindakan defendan-defendan tersebut bertentangan dengan prinsip kewartawanan bertanggungjawab serta elemen di bawah Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, iaitu larangan penerbitan berita palsu atau berita yang tidak disahkan, di mana pihak penerbit mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa sesuatu penerbitan adalah tepat, benar dan tidak mengelirukan sebelum disiarkan kepada umum.
“Hal ini jelas merupakan fitnah terhadap plaintif,” katanya lagi.
‘Saya kekal patuh keperluan isytihar harta’
Azam berkata dia telah patuh semua keperluan perisytiharan harta yang ditetapkan ke atas penjawati awam pada setiap masa, dan sebarang pemerolehan atau pelupusan saham telah diisytihar melalui saluran rasmi yang ditetapkan termasuk Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRIMS).
Katanya, saham yang disebut dalam laporan Bloomberg telah dilupuskan sebelum ia diterbitkan, dan dia ada kemampuan kewangan sah untuk membuat pelaburan berdasarkan pendapatan sah dan faedah persaraan.
“Tarikh pelupusan saham merupakan fakta material yang secara langsung mempengaruhi persepsi para pembaca terhadap integriti dan pematuhan plaintif, namun defendan-defendan telah mengabaikan kewajiban untuk mengesahkan fakta tersebut,” katanya lagi.

Sebelum ini, Bloomberg dan Malaysiakini melaporkan bahawa Azam memiliki saham dengan jumlah besar dalam dua syarikat, melebihi had yang dibenarkan dalam perkhidmatan awam.
Rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Azam pernah memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Berhad dan sekitar 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad.
Saham Velocity Capital Partner dipercayai dibeli sekitar RM1.5 juta, manakala saham Awanbiru dianggarkan bernilai antara RM1.24 juta hingga RM1.38 juta pada ssatu tempoh masa.
Bloomberg turut menerbitkan satu lagi laporan yang mendakwa pegawai SPRM bersekongkol dengan ahli perniagaan tertentu untuk menekan pesaing perniagaan mereka dan merancang pengambilalihan syarikat secara paksa, serta mendakwa Azam tahu dan menyokong kegiatan tersebut.
Pada 13 Februari lalu, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas diketuai Peguam Negara Dusuki Mokhtar bagi menyiasat dakwaan berkaitan Azam.
Dusuki kemudian memberi gambaran kepada Malaysiakini bahawa skop siasatan hanya akan memberi tumpuan kepada dakwaan pemilikan saham oleh Azam.
Saman yang difailkan Azam terhadap Bloomberg ini hanya meliputi dakwaan berkaitan pemilikan sahamnya.
