mk-logo
Berita
Suhaizan persoal hala tuju, struktur kepimpinan PN
Diterbitkan:  Feb 25, 2026 10:00 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Anggota Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat mempersoalkan hala tuju dan struktur kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya semakin mengelirukan rakyat. 

Perkara itu dibangkitkan susulan pertikaikan berkaitan kedudukan Hamzah Zainuddin (PN - Larut) sebagai ketua pembangkang selepas timbalan presiden Bersatu itu dipecat sebagai anggota partinya.

Suhaizan membangkitkan persoalan mengenai siapa sebenarnya yang memegang kuasa pemutus dalam gabungan itu, sama ada ketua pembangkang, pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

"Gabungan yang bercita-cita mentadbir negara tidak boleh mempunyai kepimpinan yang kabur sehingga rakyat sendiri tidak pasti siapa yang membuat keputusan dan siapa yang bertanggungjawab," kata pemimpin Amanah dari Johor itu.

Suhaizan Kaiat

Kelmarin, pertikaian mengenai status jawatan ketua pembangkang tercetus di Dewan Rakyat susulan kritis dalaman Bersatu yang membawa kepada pemecatan Hamzah daripada parti.

Pejabat speaker bagaimanapun belum menerima sebarang arahan atau dokumen rasmi, menyebabkan kerusinya kini kekal di sebelah musuh politiknya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Pada masa yang sama, anggota parlimen daripada kem Hamzah berpendapatan jawatan ketua pembangkang sepatutnya dipilih oleh wakil rakyat sendiri, bukan parti seperti kelaziman.

Dalam kenyataannya, Suhaizan turut menyentuh pelantikan Samsuri, naib presiden PAS dan menteri besar Terengganu, sebagai pengerusi PN baru-baru ini. 

Ahmad Samsuri Mokhtar

Suhaizan mempersoalkan sama ada Ahmad Samsuri benar-benar memimpin gabungan itu atau sekadar menjadi wajah sederhana bagi melindungi kuasa sebenar PAS dan peranan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Jika keputusan sebenar dibuat di tempat lain dan oleh individu lain di luar struktur rasmi, maka rakyat berhak mengetahui siapa sebenarnya yang memegang kuasa dalam gabungan tersebut,” katanya.

‘Sibuk bergaduh tentang kuasa dan jawatan’

Selain isu kepimpinan, Suhaizan mendakwa PN gagal menawarkan cadangan dasar ekonomi yang jelas dan menyeluruh sebagai alternatif kepada langkah kerajaan ketika ini. 

Menurutnya, walaupun sering mengkritik isu kos sara hidup dan pengurusan fiskal, gabungan pembangkang itu masih belum membentangkan model pengurusan kewangan negara yang konkrit.

"Rakyat berhak mendapat pembangkang yang serius tentang ekonomi, bukan pembangkang yang sibuk bergaduh tentang kuasa dan jawatan," tambah Suhaizan lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS