Sebuah kuil Hindu di Rawang, Selangor dirobohkan awal pagi tadi, beberapa jam selepas jawatankuasanya mengalihkan patung berhala susulan persetujuan yang dicapai dengan pihak berkuasa dan pemilik tanah, Yayasan Kubra.
Menurut aktivis Yayasan Kubra Ariff Omar, jawatankuasa kuil telah mengeluarkan patung serta barang-barang lain sebaik sebelum tempoh 14 hari yang dipersetujui tamat pada tengah malam tadi.
Ariff memberitahu Malaysiakini yang sekumpulan sukarelawan datang sekitar jam tiga pagi dan memulakan kerja-kerja perobohan dengan pemantauan polis.

“Saya dimaklumkan tiada sebarang provokasi yang berlaku kerana pihak kuil telah mengalihkan semua berhala mereka malam tadi juga.
“Ia walaupun pihak kuil ada buat sidang media bersama (aktivis) Arun Dorasamy (dan menyatakan) mereka berkeras untuk tidak keluar dari tanah yayasan.
“Tetapi alhamdulillah berkat doa semua, mereka mungkin berfikir banyak kali dan bertindak mengeluarkan semua peralatan agama mereka malam tadi juga.
“Ini bermakna pihak kuil patuh pada undang-undang dan perjanjian yang kita sepakati…Terima kasih kepada pihak kuil kerana mengotakan janji,” katanya ketika ditemui di bekas tapak kuil itu, pagi ini.
Kuil itu, yang terletak di Rawang Perdana, menjadi perhatian selepas aktivis Tamim Dahri mula merobohkannya dua minggu lalu.
Menurut Yayasan Kubra, pihaknya mengupah Tamim untuk berbuat demikian bagi memberi laluan kepada pembinaan projek perumahan untuk orang miskin di tapak itu.
Insiden itu mencetuskan konfrontasi antara Tamim dan tiga yang lain dengan sekumpulan yang mempertahankan kuil itu.
Tamim dan tiga individu tersebut kemudian ditahan polis, namun dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah reman dua hari yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari yang sama.
‘Arun bawa masalah’
Sementara itu, pemegang amanah Yayasan Kubra Ismail Mina menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Arun yang menurutnya mencetuskan masalah dengan campur tangan dalam isu tersebut.
Ismail berkata, pihak yayasan dan kuil telah berjaya mencapai penyelesaian ketika berbincang dengan ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak.
“Dialah (sebenarnya) pemecah belah. Kita dah selesaikan (pertikaian), tanyalah IPD Gombak.
“Wakil kuil pun ada di PDN. Tak ada apa dah, selesai…(Kemudian) dia masuk campur,” katanya lagi.
Ismail merujuk sidang media yang diadakan Arul semalam, selepas menemani R Ahrindran, ketua jawatankuasa kuil tersebut, untuk membuat laporan polis terhadap pihak berkuasa.
https://www.malaysiakini.com/news/768810
Ismail berkata pihaknya juga sedang mendapatkan nasihat peguam berhubung tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap Arun yang didakwanya memberikan persepsi negatif terhadap orang Islam.
