Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menyifatkan cadangan agar Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan susulan pelantikannya sebagai pengerusi PN sebagai tidak perlu.
Presiden MIPP, P Punithan berkata, jawatan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai beban, sebaliknya merupakan kelebihan kepada gabungan itu dan juga pentadbiran negeri.
"Bagi kami di MIPP, peranan dwifungsinya bukan satu bebanan. Ia adalah satu kelebihan.
"Ahmad Samsuri mempunyai rekod prestasi yang terbukti dari segi kredibiliti, disiplin, dan kompetensi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia mengulas mengenai desakan sesetengah pihak yang mahukan Ahmad Samsuri menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas di peringkat nasional selepas dia dipilih menerajui sebagai pengerusi PN menggantikan Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, sebuah media tempatan melaporkan penganalisis berbeza pendapat mengenai kewajaran Ahmad Samsuri melepaskan jawatan menteri besar Terengganu untuk fokus menawan Putrajaya pada PRU16.
Menurut Tawfiq Yaakub dari Universiti Malaya (UM), Ahmad Samsuri wajar meletakkan jawatan supaya dapat menjadi “panglima PN” di Parlimen selain mula mengatur jelajah memandangkan ada spekulasi PRU akan diadakan serentak dengan PRN Melaka tahun ini.
Katanya, tanggungjawab baru itu mungkin menyebabkan bebannya bertambah berbanding sebelum ini.
Punithan bagaimanapun membangkitkan kejayaan Ahmad Samsuri yang juga merupakan naib presiden PAS dalam mengemudi jentera pilihan raya sehingga membolehkan PN menyapu bersih semua 32 DUN di Terengganu pada PRN lalu.

Dia juga menyifatkan Ahmad Samsuri sebagai pemimpin yang melangkaui imej Islamik PAS kerana sifat profesionalisme dan inklusif yang ditonjolkannya.
"Walaupun imej Islamik sering dikaitkan dengan PAS, Ahmad Samsuri konsisten menonjol sebagai pemimpin yang diterima dan dihormati oleh semua kaum," katanya.
Pada Ahad lalu, Ahmad Samsuri secara rasmi dilantik sebagai pengerusi PN yang baru, menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada 31 Disember tahun lalu.
Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani presiden parti-parti komponen PN, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung di ibu pejabat PAS pad hari yang sama.
Pelantikan itu walaupun terdapat bantahan daripada parti komponen lain PN berhubung pelantikan itu, termasuk daripada kem Muhyiddin yang berpendapat jawatan pengerusi PN wajar dipegang presiden parti itu.
Dalam pada itu, Punithan turut memaklumkan dia telah mengadakan pertemuan peribadi dengan Ahmad Samsuri bagi membincangkan hal ehwal masyarakat India.
Katanya, MIPP komited untuk membuka ruang kepada Ahmad Samsuri bagi mendekati komuniti tersebut dengan lebih mendalam, sama seperti komitmen yang pernah ditunjukkan oleh Muhyiddin sebelum ini.
