Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes pijak al-Quran: Jangan pukul rata kesalahan individu – Dr Sathia

Pemimpin PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan menyeru orang ramai supaya tidak membuat penilaian umum terhadap mana-mana kumpulan susulan insiden seorang pelajar universiti didakwa memijak al-Quran baru-baru ini.

Pengarah pilihan raya PKR Selangor itu menegaskan tanggungjawab kesalahan perlu dipikul individu terlibat tanpa mengaitkan latar belakang kaum atau agama tertentu, demi memelihara keharmonian masyarakat.

"Ancaman utama bukanlah perbezaan masyarakat, sebaliknya tindakan individu yang menggunakan platform digital untuk mencetuskan emosi dan perpecahan.

"Kesalahan perlu ditanggung individu yang terlibat dan tidak wajar digeneralisasikan kepada mana-mana kumpulan.

"Prinsip penting yang harus dipegang ialah tidak menyalahkan latar belakang seseorang, sebaliknya memberi tumpuan kepada pihak yang melakukan kesalahan," katanya kepada Malaysiakini ketika mengulas insiden melibatkan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang tular di aplikasi Threads.

Suspek dilaporkan telah memohon maaf sebelum ditahan polis di Kuantan.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman (gambar atas) mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan menghina agama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Sathia berpandangan Malaysia kini berdepan cabaran besar apabila media sosial disalahgunakan segelintir pihak untuk menyemai kebencian yang berpotensi menjejaskan fabrik sosial yang telah lama terbina.

Dalam perkembangan sama, dia turut menyentuh isu premis atau rumah ibadat yang didakwa tidak mempunyai hak milik sah, sambil menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak lebih awal bagi mengelakkan polemik awam.

"Bagaimana kemudahan utiliti seperti bekalan elektrik dan air boleh diluluskan sekiranya status pemilikan tanah tidak teratur.

"Sekiranya berlaku kecuaian atau kelulusan yang tidak mengikut prosedur, siasatan wajar dijalankan dan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pihak yang memberi kebenaran agar perkara sama tidak berulang," katanya.

Tambahnya, penguatkuasaan yang dilihat terpilih hanya akan menjejaskan kepercayaan awam serta membuka ruang kepada provokasi berterusan yang tidak menguntungkan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS