story images
story images
mk-logo
Berita
'Langkah Bangkok' tiada kena mengena dengan saya - Ahmad Samsuri
Diterbitkan:  Mar 7, 2026 12:51 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, menafikan dirinya terlibat dalam pertemuan yang dikaitkan sebagai ‘Langkah Bangkok’ di Bangkok, Thailand, seperti dilaporkan beberapa pihak.

Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu itu berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan dirinya dengan perkara itu.

"Sebarang pertemuan atau perbincangan yang dikaitkan dengan perkara tersebut adalah tidak melibatkan saya dan tiada kena mengena dengan saya.

"Saya berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan nama saya dengan perkara yang tidak berlaku," katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan bertemu Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, tahun lalu bagi membincangkan isu penyatuan Melayu dan Islam.

Sumber parti itu memaklumkan, selain Hamzah, Ahmad Zahid turut mengadakan pertemuan dengan Ahmad Samsuri dan Timbalan Setiausaha Agung PN merangkap Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Pertemuan itu dipercayai pada awal Disember tahun lalu semasa lawatan kerja Ahmad Zahid ke negara jiran.

Sumber itu mendedahkan, dalam pertemuan berkenaan, semua pemimpin bersetuju dan menyambut baik hasrat penyatuan itu serta usaha sedang dilaksana untuk merealisasikannya.

Susulan itu, Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung Umno tahun lepas mengumumkan inisiatif 'grand collaboration' atau kolaborasi agung bagi menyatukan parti Melayu dan Islam secara tidak rasmi tanpa membubarkan parti masing-masing.

Baru-baru ini, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mendakwa wujud perancangan Hamzah untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri melalui gabungan parti lain dan mengesahkan pertemuannya dengan Ahmad Zahid yang dikaitkan dengan 'Langkah Bangkok'.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS