Presiden PAS Abdul Hadi Awang disarankan untuk “membersihkan diri daripada bisikan syaitan yang ada di sekelilingnya” terlebih dahulu sebelum menuduh Umno dibisik syaitan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii berkata ini kerana pada bulan Ramadan yang penuh berkah ini pemimpin nombor satu PAS itu sepatutnya mencari masa untuk bermuhasabah dan mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
“Di bulan Ramadan ini, patut Haji Hadi membersihkan diri daripada bisikan syaitan yang ada di sekeliling beliau.
“Tidak ada salah untuk berusaha melakukan apa sahaja demi penyatuan umat Islam,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Hadi semalam yang menyatakan Umno mengalami sakit waswas akibat daripada bisikan syaitan.
Semalam, dalam tulisan Minda Presiden PAS di Facebook, Abdul Hadi berkata PAS menghantar pemerhati ke pertemuan “Rumah Bangsa” anjuran Umno bagi melihat sendiri pihak yang hadir.
Menurutnya, walaupun wakil DAP tidak hadir, pertemuan itu menunjukkan wujud kekeliruan dalam kalangan ahli Umno sendiri akibat “bisikan syaitan”.

Dalam pertemuan tersebut, dakwa Abdul Hadi, PAS dapat menyaksikan bahawa Umno sedang dilanda masalah sehingga ramai ahli meninggalkan perjuangan parti terbabit.
“Dapat disaksikan betapa penyakit waswas daripada bisikan syaitan turut mengganggu ahli Umno sendiri, kerana berlawanan dengan perjuangan asal Umno yang meletakkan agama sebahagian daripada dasarnya,” tulis Ahli Parlimen Marang itu lagi.
Melayu kembali dominan
Mengulas lanjut, Razlan berkata usaha Umno membuka “Rumah Bangsa” bertujuan mengeratkan semula silaturahim dalam kalangan ahli dan bekas ahli parti itu.
Sehubungan itu, dia turut mengingatkan bahawa PAS sendiri pernah bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri Selangor sebelum ini.
“Ketika PAS memberi kuasa negeri kepada DAP di Selangor, siapa pula yang berbisik kepada Haji Hadi untuk menerima gabungan itu?
“Itu juga antara kejadian yang sepatutnya beliau belajar dari bisikan orang keliling.
“Jadi seeloknya jangan dilabel Umno macam-macam,” katanya.
Razlan berkata matlamat Umno adalah untuk memastikan orang Melayu kembali mempunyai kedudukan dominan dalam politik negara.
“Jadi, kepada PAS, anda boleh terus berusaha untuk perpecahan dan perebutan kuasa antara PN, itu pun masih tidak selesai, bahkan apabila sudah kuat, kamu bergaduh antara kamu kerana kuasa.
“Pada waktu yang sama, kamu memperggunakan kuasa Islam kononnya itu diperjuangkan, bila dapat kuasa sekecil zarah bertambah riak dan takabur dalam memerintah,” katanya.
Justeru itu katanya, dia sentiasa berdoa agar orang Melayu dapat kembali bertaut dalam negara ini selain mendoakan Abdul Hadi terus dibukakan hatinya untuk dijauhkan dari punca perpecahan antara sesama Islam.

‘Syaitan tak mahu orang Melayu bersatu’
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno, Khairuddin Aman Razali berkata tuduhan yang timbul dalam politik Islam sering berpunca daripada prasangka dan sikap merasakan diri paling betul.
Menurutnya, ada pihak yang merasakan hanya pandangan atau ijtihad mereka sahaja yang benar sehingga menuduh pihak lain tidak Islamik.
“Kadang-kadang pada saat syaitan jin digari pada bulan Ramadan, ada manusia yang menjadi syaitan dengan membisikkan pelbagai prasangka buruk apabila diajak berpadu dan bersatu.
“Syaitan sememangnya tidak mahu melihat orang Islam dan Melayu berpadu dalam politik yang boleh memperkasakan Islam melangakui kepentingan parti sendiri,” katanya.
Khairuddin berkata keadaan itu akhirnya menimbulkan tuduhan serta perpecahan dalam kalangan umat Islam.
“Masalah dalam politik Islam di Malaysia ini adalah apabila ada individu dan pihak yang merasa terpaling suci dan baik serta merasakan hanya ijtihad peribadinya adalah Islam dan orang lain semua tidak Islamik.
“Maka lahirlah prasangka dan tuduhan. Ini masalah hati yang perlu dirawat dengan ‘kloroks Ramadan’,” katanya.
Umno mengadakan pertemuan dengan pelbagai parti Melayu Islam di ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur pada 5 Mac lalu bagi berkongsi serta mengukuhkan agenda nasional kerajaan.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pertemuan tersebut dibuat bagi memberi penjelasan kepada pemimpin parti terbabit mengenai dasar serta langkah yang dilaksanakan parti-parti Islam dalam kerajaan sepanjang tiga tahun pentadbiran mereka.
Ahmad Zahid berkata pertemuan itu juga bagi memastikan semua pihak ada fakta yang tepat mengenai dasar kerajaan supaya sebarang isu dapat dibincangkan secara konstruktif.
Parti yang terlibat dalam pertemuan itu ialah Umno, PAS, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah, Berjasa, Kongres India Muslim Malaysia dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia.
PAS diwakili setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan dalam pertemuan itu.
