WAWANCARA | Digugurkan dari Bersatu, digantikan sebagai setiausaha agung, dan kini berdepan kemungkinan hilang jawatan sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.
Sebaliknya Hamzah Zainudin kelihatan memperkukuh naratif dirinya sebagai team player (mengutamakan kerja berpasukan) yang tidak boleh dipisahkan daripada penyokongnya.
Namun pada masa sama dia sempat secara halus mengkritik Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Dalam wawancara dengan media terpilih, Ahli Parlimen Larut itu menjelaskan kedudukannya kini sebagai ahli politik tidak berparti seumpama sebuah “kereta yang belum didaftarkan”.
"Kalau sebelum ini saya kata saya berada di persimpangan jalan, maksudnya saya dah ada kereta cuma kereta tu belum didaftarkan.
"Saya kena daftarkan diri saya kalau saya nak bersama dengan kumpulan-kumpulan yang ada dalam negara," katanya dalam wawancara di kediamannya di Jalan Langgak Tunku, Kuala Lumpur, semalam.
Hamzah berkata demikian merujuk status keberadaannya sebagai ahli politik yang tidak berparti selepas dipecat serta-merta oleh Bersatu pada 13 Feb lalu. Keputusan itu diambil oleh Lembaga Disiplin Bersatu.
Surat pemecatan itu menyatakan bahawa Hamzah disingkirkan kerana didakwa melanggar fasal 9.1.4 perlembagaan parti.
Keputusan itu dibuat ketika kemuncak perebutan kuasa dalaman antara Muhyiddin dan Hamzah.
Tak salah jumpa Presiden Umno
Ketika menjelaskan tentang pemecatan dirinya, Hamzah secara terbuka mengaitkannya dengan perasaan Muhyiddin.
Hamzah mendakwa tindakan pemecatan itu mungkin dilakukan oleh Bersatu untuk “memberi padan muka” kepadanya namun ketika ini kelihatan memberi kesan yang terbalik.
“Tapi dia tersilap, rupanya susah nak bagi ‘padan muka pada Larut, dan ia jadi berbalik pada dia, padan muka kau, katanya.
Hamzah juga mendakwa punca sebenar dia dipecat Bersatu ialah kerana berusaha menyatukan pemimpin Melayu dalam konsep ‘payung besar’ atas arahan bekas pemimpin parti itu, Dr Mahathir Mohamad.
Kata Hamzah, tindakannya menemui Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjadi kesalahan yang besar sehingga membawa kepada pemecatan.

"Dalam mesyuarat ‘payung besar’ yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir, dia minta saya mempengerusikan satu jawatankuasa membawa semula semua pemimpin Melayu bersama-sama dalam satu kumpulan.
“Jadi tak salahlah saya jumpa Presiden Umno. Tapi saya dipecat sebab jumpa Presiden Umno.
"Maknanya mentaliti yang orang tu (Muhyiddin) ada adalah payung besar itu hanya boleh pilih-pilih.. tak bolehlah boleh macam itu.
"Kalau nak jadi payung yang pilih-pilih ia tak boleh jadi payung.
“Maknanya kamu tak ikhlas. Keikhlasan itu datang apabila kamu menjadi payung, sesiapa sahaja memerlukan payung, kamu perlu beri.
“Ini adalah konsep payung besar… konsep saya adalah keikhlasan," katanya.

Pada 4 Jun tahun lalu Mahathir mengumumkan penubuhan sebuah sekretariat bagi menghimpunkan orang Melayu di bawah satu payung besar.
Bekas perdana menteri dua kali itu berkata, jawatankuasa bekrenaan juga bertujuan untuk membolehkan orang Melayu kembali menguasai kerajaan.
Dia mengumumkan gagasan payung besar itu selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin politik. Antaranya ialah Muhyiddin dan Hamzah sendiri, serta Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Selesai lepas jumpa Larut
Menjawab satu lagi soalan mengenai jawatan ketua pembangkang, Hamzah berkata, hanya majoriti ahli parlimen pembangkang menentukan kedudukannya dan bukan Muhyiddin.
"Dia (Muhyiddin) boleh kata akan kosongkan, tapi majoriti akan menentukan. Ini nampak sudah ada perasaan dia kecewa," katanya.
Pada masa sama Hamzah juga berkata dia masih tidak pasti pendirian PAS berkaitan jawatan ketua pembangkang dan kemungkinan parti itu akan cenderung mengekalkan jawatan tersebut kepadanya.
"Saya tak tahu sama ada PAS akan sokong saya atau tak [...] Kalau lihat kenyataan pengerusi PN (Ahmad Samsuri Mokhtar), dia kata PAS akan ambil alih.
"Kalau PAS ambil alih, adakah (maksudnya) untuk menentukan siapa ketua pembangkang atau apakah PAS ambil alih jawatan ketua pembangkang? Masih tergantung.
"Ia hanya akan diselesaikan apabila Pengerusi PN bertemu dengan ketua pembangkang yang masih lagi Ahli Parlimen Larut," katanya.

Ketika ini Bersatu dilihat semakin tersisih dalam PN selepas Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS mengumumkan penyusunan semula struktur parti gabungan pembangkan tersebut.
Ia menyaksikan sebahagian besar jawatan utama dikuasai oleh PAS, termasuk setiausaha agung (Takiyuddin Hassan), ketua pemuda (Afnan Hamimi Taib Azamudden), dan bendahari agung (Muhammad Sanusi Md Nor).
Azmin Ali yang sebelum ini menjadi setiausaha agung pula dilantik sebagai penolong setiausaha agung.
Ahmad Samsuri juga memberitahu jawatan ketua pembangkang akan diisi oleh ahli parlimen PAS namun penyandang sebenar akan dimaklumkan kepada umum hujung bulan ini.
